Hajiji beramah mesra dengan sebahagian peserta dalam dan luar negara sempena Majlis Perasmian Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT) Kali ke-11 2026 di Dataran Majlis Perbandaran Tawau malam tadi.
TAWAU: Kehadiran peserta dari beberapa negara luar, selain penyertaan dari seluruh negara, dalam Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT) mengukuhkan lagi peranan Tawau sebagai sebuah bandar sempadan yang kaya dengan jaringan diplomasi budaya serta kerjasama serantau.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, perkembangan itu sekali gus membuktikan FKAT mempunyai kelasnya yang tersendiri sehingga berjaya menarik perhatian meluas di peringkat nasional mahupun antarabangsa.
“Keunikan budaya yang kita miliki inilah kekuatan kita dan festival ini bukan sahaja memperlihatkan keunikan citra masyarakat kita, malah menjadi simbol perpaduan kukuh rakyat berbilang etnik di negeri ini.
“Keunikan inilah yang menjadi tarikan kepada peserta dari negara luar, antaranya Kazakhstan, Uzbekistan, Kemboja dan Indonesia, untuk menyertai festival ini. Sudah pasti ini akan memperkukuh peranan daerah Tawau sebagai salah satu destinasi pelancongan budaya yang dinamik, makmur serta sentiasa mendapat tempat di hati para pelawat dari seluruh negara mahupun pelancong antarabangsa,” katanya ketika merasmikan Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau Kali Ke-11 Tahun 2026, di sini, malam tadi.

Hajiji menyempurnakan gimik perasmian sempena Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT) Kali ke-11 2026 di Dataran Majlis Perbandaran Tawau malam tadi.
Dalam pada itu, Hajiji berkata, FKAT mampu menjadi platform besar untuk mengetengahkan khazanah budaya masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
“Budaya bukan sekadar khazanah sejarah, tetapi juga aset yang perlu dipertahankan untuk generasi akan datang. Saya yakin festival ini mampu membawa impak besar kepada sektor pelancongan dan ekonomi tempatan di Tawau.
“Kemasukan pelancong domestik dan antarabangsa sempena festival ini bukan sahaja memberi peluang kepada mereka mengenali khazanah budaya kita, malah turut membawa limpahan rezeki kepada semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung.
“Ini termasuk usahawan, pengusaha inap desa atau homestay, penggiat seni serta peniaga kecil, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi komuniti setempat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri akan mempergiatkan pelbagai inisiatif, program dan acara berimpak tinggi bagi menarik lebih ramai pelancong ke Sabah seiring dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 dan seterusnya Tahun Melawat Sabah 2027.
“Kita akan menganjurkan lebih banyak promosi, termasuk pelancongan berasaskan komuniti serta memperkukuh kempen pemasaran digital bagi menarik lebih ramai pelancong antarabangsa. Festival kebudayaan seperti ini merupakan salah satu platform yang dapat membantu usaha tersebut.
“Kerajaan juga akan terus menyokong dan membantu pertubuhan etnik dalam usaha memelihara adat istiadat, seni dan budaya masing-masing di negeri ini,” katanya.


































