Hajiji bergambar bersama wakil dari lima kampung yang menerima Pewartaan Geran Perkampungan pada Program Jelajah Rakyat dan Jualan Rahmah MADANI Parlimen Kalabakan hari ini.
KALABAKAN: Kerajaan Sabah dijangka memperoleh 40 peratus kepentingan menerusi projek fasiliti gas asli cecair terapung (FLNG) di Sabah yang bakal dimeterai dengan PETRONAS dalam masa terdekat.
Perkembangan itu dikongsikan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor yang menyifatkannya sebagai antara kejayaan penting hasil kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata, kejayaan itu juga adalah hasil perjanjian kerjasama yang dimeterai sebelum ini dengan PETRONAS, sekali gus membolehkan Kerajaan Negeri terbabit secara aktif dalam industri minyak dan gas di Sabah.
Menurutnya, Kerajaan Negeri turut bakal memperoleh 20 peratus kepentingan menerusi projek yang dilaksanakan PETRONAS di lapangan minyak dan gas baharu yang ditemui di perairan Sandakan.
“Kita berjaya mengadakan perjanjian dengan PETRONAS dan tidak berapa lama lagi, mungkin dalam beberapa bulan ini, kita akan menandatangani perjanjian dengan PETRONAS di mana kita akan mendapat 40 peratus daripada floating gas di Sabah ini.
“Di Sandakan, PETRONAS sudah mendapat satu lapangan minyak dan gas, di sini kita akan dibagi 20 peratus,” katanya ketika merasmikan Program Jelajah Rakyat dan Jualan Rahmah MADANI Parlimen Kalabakan di Dewan Terbuka Pejabat Daerah Kalabakan, hari ini.

Terdahulu, beliau mendengar Taklimat Pembangunan Kalabakan yang disampaikan Pegawai Daerah Kalabakan, Murad Abdul Rashid di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Kalabakan.
Turut hadir ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali; Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Negeri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun; Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Dr. Andi Md. Shamsureezal Mohd. Sainal; Pembantu Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Negeri, Datuk Jonnybone J. Kurum; serta Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy.
Hajiji berkata, banyak manfaat dapat dinikmati rakyat dan negeri ini hasil hubungan baik antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.
Katanya, Sabah juga semakin mendapat perhatian pelabur hasil pendekatan mesra pelabur yang menjadi dasar Kerajaan pimpinannya, dan perkara itu diakui sendiri oleh diplomat asing yang datang ke negeri ini untuk meninjau potensi pelaburan.
“Hampir 40 diplomat asing atau pesuruhjaya tinggi datang berjumpa saya dalam tempoh lima tahun ini. Mereka tertarik dengan dasar kita yang mesra pelabur. Mereka kata ini akan melonjakkan Sabah ke arah yang lebih baik dan memang inilah yang kita lakukan untuk Sabah,” katanya.
Beliau berkata, kawasan perindustrian sedia ada, khususnya Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP), kini semakin penuh berikutan peningkatan keyakinan pelabur.

Sehubungan itu, katanya, Kerajaan Negeri berusaha mengembangkan kawasan perindustrian baharu termasuk POIC di pantai timur serta taman industri berasaskan ekonomi biru.
Mengenai pembangunan Kalabakan, Hajiji berkata, Kerajaan Negeri komited membawa daerah itu ke arah pembangunan yang pesat dan seimbang selaras dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), dengan pembangunan ekonomi serta kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan.
Antara yang diberi tumpuan ialah cadangan pembinaan Bandar Baharu Kalabakan melibatkan kawasan seluas kira-kira 1,000 ekar yang bakal menjadi pusat pertumbuhan daerah menerusi pelbagai pembangunan yang dirancang.
“Apabila ini dilaksanakan, ia akan menjadi pusat pertumbuhan daerah Kalabakan dengan pelbagai pembangunan yang dirancang,” katanya.
Selain bandar baharu itu, Hajiji berkata, Kerajaan turut berusaha menambah baik kemudahan infrastruktur di Kalabakan, termasuk menaik taraf jalan raya serta pembinaan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) yang bakal menjadi pintu masuk ke Sabah dari Kalimantan Utara, Indonesia.
Beliau berkata, kehadirannya ke Kalabakan hari ini juga adalah untuk meninjau sendiri perkembangan daerah itu bagi memastikan rakyatnya tidak ketinggalan menikmati pembangunan yang diusahakan Kerajaan.


































