David Chan
KOTA KINABALU: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Sabah menyokong tindakan pantas pihak berkuasa menutup sementara Jambatan Jalan Tun Fuad Stephen selepas kerosakan pada lantai konkrit jambatan dikesan.
Pengerusi YPNM Sabah, David Chan berkata, keputusan itu merupakan langkah yang tepat bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya walaupun penutupan sementara tersebut menyebabkan kesesakan lalu lintas dan sedikit kesulitan kepada orang ramai.
“Keselamatan awam tidak boleh dikompromi. Tindakan pencegahan perlu sentiasa diberi keutamaan bagi mengelakkan risiko kemalangan yang boleh mengorbankan nyawa. Dalam keadaan seperti ini, keselamatan pengguna mestilah mengatasi segala pertimbangan lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, YPNM Sabah menggesa pihak berkaitan menjalankan pemeriksaan teknikal secara menyeluruh bagi memastikan struktur jambatan benar-benar selamat sebelum dibuka semula kepada pengguna.
“Kerja-kerja pembaikan juga perlu dipercepatkan supaya gangguan kepada orang ramai dapat diminimumkan, selain memastikan laluan itu dapat digunakan semula secepat mungkin tanpa menjejaskan aspek keselamatan,” katanya.
Chan turut berharap pihak berkuasa menyalurkan maklumat terkini secara berkala mengenai perkembangan kerja pembaikan, laluan alternatif dan jangkaan tempoh penutupan supaya pengguna dapat merancang perjalanan mereka dengan lebih baik.
Beliau berkata, kejadian itu perlu dijadikan pengajaran mengenai pentingnya penyelenggaraan berkala terhadap infrastruktur awam bagi memastikan keselamatan pengguna sentiasa terjamin.
“Insiden ini mengingatkan kita bahawa penyelenggaraan dan pemeriksaan berkala terhadap infrastruktur awam tidak boleh dipandang ringan. Keselamatan rakyat mesti sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap keputusan yang melibatkan kemudahan awam,” katanya.
































