Jainisah (kiri) menyerahkan Jalur Gemilang kepada Ketua Pegawai Eksekutif TV Sabah, Suzanne Lujain Bingkasan.
KOTA KINABALU: Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2026 bakal menyantuni masyarakat bandar dan luar bandar bagi menyemarakkan lagi semangat patriotisme sempena Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Sabah pada tahun ini.Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Sabah, Jainisah Mohd Noor berkata, konvoi KMJG pada tahun ini melibatkan 25 agensi daripada kerajaan Persekutuan dan negeri, badan bukan kerajaan (NGO) serta beberapa wakil pihak swasta.
“Seperti tahun-tahun lepas, KMJG akan menjelajah ke setiap daerah sehingga 31 Ogos depan bagi menyemarakkan semangat patriotisme di kalangan masyarakat, selain membawa mesej cintakan negara dan negeri melalui pelbagai pendekatan.
“KMJG akan bermula di perkarangan Menara Kinabalu dan akan bergerak di sekitar Kota Kinabalu dan menuju ke beberapa check point antaranya Sabah International Convention Centre (SICC), Dewan Masyarakat Menggatal serta Foh Sang.
“Flag off KMJG dijangka akan disempurnakan oleh YAB Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor pada 1 Ogos ini sempena Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan, Hari Sabah dan Kempen Kibar Bendera 2026,” katanya ketika ditemui media selepas menjadi tetamu dalam segmen Santai Jak Bah di TV Sabah, di sini pada Khamis.
Jainisah berkata, penyertaan khas syarikat swasta dari sektor ekonomi gig seperti MAXIM E-hailing pada tahun ini membuktikan semangat patriotisme dapat dizahirkan oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira bidang pekerjaan.
“Melalui penyertaan mereka, ia selaras dengan tema hari kebangsaan tahun ini ‘Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati’.”Penglibatan ini bukan sahaja akan memeriahkan konvoi, malah menjadi platform untuk mengetengahkan peranan ekonomi gig sebagai antara sektor yang semakin berkembang dan memberi peluang kepada rakyat menjana pendapatan secara fleksibel,” jelasnya.
Di samping itu juga, Jainisah berharap sempena Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Sabah masyarakat di negeri ini khususnya dapat mengibarkan bendera di premis masing-masing sebagai tanda semangat cintakan negara.
































