KOTA KINABALU: Gwen Mia hanya berniat untuk tidak hadir ke sekolah selama sehari dan tidak pernah menyangka tindakannya itu akan berkembang menjadi kes orang hilang yang mendapat perhatian meluas di Malaysia serta negara jiran.
Wakil keluarga, Jaime Crystal berkata, kanak-kanak berusia 12 tahun itu mula panik apabila menyedari keadaan tersebut telah menjadi di luar kawalan.
“Mia hanya berniat untuk tidak hadir ke sekolah selama sehari. Dia tidak pernah menyangka perkara ini akan menjadi sebesar ini. Seperti mana-mana kanak-kanak berusia 12 tahun, dia panik dan ketakutan, dan itu adalah reaksi semula jadi pada usianya,” katanya.
Jaime berkata, kes itu tular dengan pantas menerusi media sosial dan laporan media sehingga mendapat perhatian di Indonesia, Brunei, Sarawak dan Semenanjung Malaysia, sekali gus membuktikan kuasa luar biasa orang ramai dan media, namun pada masa yang sama mengingatkan semua pihak supaya hanya berkongsi maklumat yang sahih dan disahkan.
Beliau berkata, pada satu ketika, apabila kakak Mia bertanya, “Ko tidak masuk school ka?”, Mia menjawab, “Masuk, nanti,” yang menunjukkan bahawa dia sama sekali tidak berniat untuk menyebabkan keadaan menjadi semakin rumit.
Jaime mengesahkan kes itu kini telah ditutup secara rasmi dan memberi jaminan bahawa Mia berada dalam keadaan selamat, sihat serta kekal sebagai seorang kanak-kanak yang ceria dan periang seperti yang dikenali semua.
Selepas kejadian itu, Mia menjalani pemeriksaan perubatan dan keputusan mengesahkan bahawa dia tidak mengalami sebarang kecederaan atau kemudaratan.
Jaime turut menjelaskan bahawa Proton Saga yang disebut sebelum ini hanyalah kenderaan Grab yang membawa Mia ke rumah rakannya dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan unsur jenayah.
“Tiada apa-apa yang disembunyikan atau mencurigakan mengenai penglibatan kenderaan itu,” katanya.
Beliau berkata, Mia amat menyesali tindakannya dan memohon maaf dengan ikhlas kepada semua yang bimbang serta kehilangan tidur sepanjang usaha mencarinya.
“Mia berharap perkara ini menjadi pengajaran kepada semua pelajar. Mungkin ada antara kita yang pernah ponteng sekolah sebelum ini, tetapi ia adalah tindakan yang sangat tidak bijak dan berbahaya. Kami berharap semua pelajar akan berfikir dengan teliti tentang akibat daripada setiap keputusan yang dibuat,” katanya.
Jaime turut menggesa orang ramai supaya hanya mempercayai maklumat yang disalurkan olehnya atau Polis Diraja Malaysia (PDRM), sambil menegaskan bahawa spekulasi dan penyebaran maklumat palsu hanya akan menimbulkan kekeliruan.
“Tolong percayai hanya maklumat yang datang terus daripada saya atau PDRM sebagai pihak berkuasa yang sah. Spekulasi dan maklumat palsu tidak membantu. Apa yang kita perlukan ialah sifat belas ihsan, kesabaran dan fakta yang telah disahkan. Dan yang paling penting, jagalah tutur kata. Kebaikan tidak memerlukan sebarang kos,” katanya.
































