KENINGAU: Satu delegasi beberapa persatuan di daerah ini mengadakan lawatan kerja ke Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Keningau pada 24 Julai lalu bagi meneroka potensi kerjasama strategik dalam memperkasa pembangunan robotik, pendidikan berteraskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta industri kreatif.
Lawatan itu turut menjadi platform perbincangan antara delegasi dan pihak pengurusan IPG Kampus Keningau mengenai cadangan pelaksanaan pelbagai program yang mampu memberi pendedahan kepada generasi muda dalam bidang robotik, teknologi, inovasi, animasi dan kreativiti digital.
Inisiatif berkenaan dilihat sebagai langkah penting dalam melahirkan lebih ramai bakat muda berkemahiran tinggi yang bersedia menghadapi perkembangan Revolusi Industri 4.0 dan ekonomi digital, selain mewujudkan ekosistem pembelajaran yang lebih progresif dan berdaya saing menerusi kerjasama antara institusi pendidikan dan pertubuhan masyarakat.
Pengerusi Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Keningau, Rafie Robert berkata, usaha memperkukuhkan kerjasama bersama institusi pendidikan merupakan antara pendekatan terbaik untuk membuka lebih banyak peluang kepada anak-anak muda meneroka bidang teknologi dan inovasi.
“Keningau mempunyai potensi besar untuk menjadi pusat pembangunan bakat dalam bidang robotik, STEM dan industri kreatif di pedalaman Sabah.
“Melalui kerjasama strategik seperti ini, kita berharap lebih banyak program berkualiti dapat dilaksanakan demi melahirkan generasi muda yang berkemahiran, kreatif dan berdaya saing,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak IPG Kampus Keningau atas kesudian menerima kunjungan delegasi serta berkongsi pandangan ke arah merealisasikan pelbagai inisiatif pembangunan pendidikan dan teknologi di daerah itu.
Delegasi tersebut turut disertai Pengerusi Penaja Persatuan Industri Kreatif Keningau, Syafiee Ludi; Pengerusi Penaja Persatuan Teknologi dan Inovasi Keningau, Daffri Adzahari; serta Pengerusi Penaja Persatuan Animasi Keningau, Gibson Dave Lidi.
Lawatan itu diharapkan menjadi titik permulaan kepada kerjasama yang lebih erat antara IPG Kampus Keningau dan pertubuhan berkaitan dalam membangunkan ekosistem robotik, STEM, teknologi dan industri kreatif yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat, khususnya generasi muda di Keningau.


































