Jamawi Jaafar
KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Enakmen Haiwan (Pindaan) 2026 bagi memastikan Enakmen Haiwan 2015 terus relevan, memperkukuh kawal selia aktiviti penternakan dan rumah sembelih serta menyokong pelaksanaan fungsi Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, pindaan itu diluluskan Jemaah Menteri pada 13 Julai lalu sebelum dibentangkan di DUN.
Beliau berkata, Enakmen Haiwan 2015 yang diwartakan dan dikuatkuasakan pada 15 Disember 2015, sekali gus memansuhkan Animals Ordinance 1962, merupakan undang-undang utama yang menyediakan kerangka perundangan bagi pencegahan dan kawalan penyakit haiwan, perlindungan kesihatan awam veterinar serta pengawalseliaan aktiviti berkaitan di Sabah.
“Melalui Enakmen ini, Kerajaan Negeri dapat memastikan sistem kawal selia veterinar dilaksanakan secara teratur dan berkesan demi melindungi kesihatan haiwan, kesihatan awam veterinar serta menyokong pembangunan industri penternakan di negeri Sabah.
“Secara keseluruhannya, Rang Undang-Undang ini bertujuan memastikan Enakmen Haiwan 2015 terus kekal relevan sebagai suatu kerangka perundangan yang jelas, berkesan dan selaras dengan keperluan semasa, sekali gus memperkukuh kawal selia aktiviti penternakan dan rumah sembelih serta menyokong pelaksanaan fungsi Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah,” katanya ketika membentangkan rang undang-undang itu.
Jamawi berkata, selepas lebih sedekad dikuatkuasakan, beberapa peruntukan dalam Enakmen Haiwan 2015 dikenal pasti memerlukan pengemaskinian dan penambahbaikan supaya selaras dengan keperluan pentadbiran semasa.
Menurutnya, antara pindaan utama ialah mengemas kini nama jabatan yang bertanggungjawab melaksanakan enakmen berkenaan.
Katanya, penjenamaan semula Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Perusahaan Ternak Sabah kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah telah dipersetujui Kabinet pada penghujung 2017 dan jabatan itu secara rasmi menggunakan nama baharu sejak 2018, namun nama lama masih termaktub dalam Enakmen Haiwan 2015.
“Di samping pengemaskinian nama jabatan, Rang Undang-Undang ini turut memperkemaskan beberapa peruntukan di bawah Enakmen Haiwan 2015 berdasarkan penelitian Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah terhadap pelaksanaan Enakmen dan peraturan-peraturan subsidiari yang berkaitan.
“Pindaan ini bertujuan memperjelaskan peruntukan mengenai pelesenan ladang ternakan dan rumah sembelih bagi memastikan pelaksanaannya lebih teratur dan berkesan,” katanya.
Jamawi berkata, Rang Undang-Undang Haiwan (Pindaan) 2026 akan berkuat kuasa pada tarikh penyiarannya dalam Warta.
Beliau berkata, Fasal 1 mengandungi tajuk ringkas dan tarikh permulaan kuat kuasa enakmen, manakala Fasal 2 meminda Seksyen 2 dengan mengemas kini beberapa takrif sedia ada serta memasukkan takrif baharu.
Katanya, Fasal 3 meminda Seksyen 5 dengan mewajibkan lesen bagi pengendalian semua ladang ternakan dan rumah sembelih, manakala Fasal 8 memperkenalkan Bahagian VIIA dan VIIB baharu yang memperuntukkan perkara berkaitan kawalan ladang ternakan dan rumah sembelih.
“Fasal 9 pula meminda Seksyen 84 Enakmen berhubung kuasa Menteri untuk membuat peraturan-peraturan, manakala pindaan lain merupakan pindaan kecil atau pindaan berbangkit,” katanya.
Beliau berkata, pindaan itu akan menyediakan kerangka perundangan yang lebih jelas dan berkesan bagi memastikan sistem kawal selia veterinar di Sabah terus memenuhi keperluan semasa, sekali gus memperkukuhkan pembangunan industri penternakan serta melindungi kesihatan haiwan dan kesihatan awam veterinar di negeri ini.
































