Fairuz Renddan
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah bersedia memberikan kerjasama dan bantuan sewajarnya bagi membantu menyelesaikan isu pemilikan unit rumah di 1Borneo sekiranya Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) dan pemaju mencapai persetujuan atau memerlukan campur tangan agensi kerajaan mengikut bidang kuasa masing-masing.
Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Fairuz Renddan berkata, pertikaian itu berpunca daripada hubungan kontraktual antara USIA dan pihak pemaju, justeru ia perlu diselesaikan oleh kedua-dua pihak melalui rundingan, mediasi atau saluran perundangan yang bersesuaian.
“Isu yang dibangkitkan berkaitan pemilikan unit rumah di 1Borneo adalah berpunca daripada pertelingkahan antara pihak USIA dengan pihak pemaju. Ia merupakan suatu perkara yang melibatkan hubungan kontraktual antara kedua-dua pihak dan menjadi tanggungjawab mereka untuk menyelesaikannya melalui rundingan, mediasi atau saluran perundangan yang bersesuaian,” katanya soalan ADUN Darau, Datuk Azhar Matussin pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Fairuz turut menjelaskan bahawa projek perumahan 1Borneo adalah projek yang telah siap dibangunkan dan bukannya projek perumahan terbengkalai.
“Oleh itu, perkara ini tidak berada dalam skop kuasa Pengawal Perumahan untuk campur tangan di bawah peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kementeriannya sentiasa bersedia memberikan kerjasama kepada kedua-dua pihak sekiranya mereka mencapai persetujuan atau memerlukan bantuan daripada mana-mana agensi kerajaan yang berkaitan.
“Kementerian sentiasa bersedia memberikan kerjasama dan bantuan yang sewajarnya selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa sekiranya kedua-dua pihak memerlukan bantuan Kerajaan,” katanya.
Kerajaan Negeri menjelaskan bahawa walaupun pertikaian itu berada di luar bidang kuasa langsung kementerian kerana melibatkan urusan kontraktual antara dua pihak, Kerajaan tetap bersedia memainkan peranan sebagai pemudah cara sekiranya diperlukan bagi membantu mencari penyelesaian terbaik kepada semua pihak yang terlibat.
































