James menyampaikan watikah pelantikan kepada salah seorang penerima pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan JKKK Sesi 2025–2030 di Dewan KDCA Daerah Paitan.
PAITAN: Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk James Ratib menyeru Jawatankuasa Kemajuan Kampung dan Keselamatan Kampung (JKKK) supaya memainkan peranan sebagai pemimpin akar umbi yang sentiasa mendampingi rakyat serta menjadi penggerak utama pembangunan komuniti.
Beliau berkata, pelantikan sebagai Ahli JKKK bukan sekadar satu penghormatan, sebaliknya merupakan amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh integriti, ketelusan dan tanggungjawab.
“JKKK merupakan barisan hadapan kerajaan di peringkat akar umbi. Rakyat melihat JKKK sebagai tempat pertama untuk menyuarakan masalah, mendapatkan bantuan dan mencari penyelesaian.
“Jangan hanya menjadi pemimpin ketika ada program atau majlis rasmi, tetapi jadilah pemimpin yang sentiasa turun padang dan memahami sendiri cabaran rakyat,” katanya ketika merasmikan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan JKKK Sesi 2025–2030 serta merasmikan Kursus Kelas Asas Sulaman Baju Tradisi Etnik Inokang Daerah Paitan di Dewan KDCA Daerah Paitan, di sini, hari ini.
James yang juga ADUN Sugut berkata, ukuran sebenar seseorang pemimpin bukan terletak pada banyaknya jawatan yang disandang, tetapi pada sejauh mana masalah rakyat dapat diselesaikan.
Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan negeri perlu bermula dengan pembangunan modal insan menerusi pendidikan, latihan kemahiran, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sains, teknologi dan inovasi.
Menurutnya, walaupun Sabah sedang bergerak ke arah pendigitalan dan kemajuan teknologi, usaha memelihara identiti serta warisan budaya tidak boleh dipinggirkan.
Mengulas mengenai Kursus Kelas Asas Sulaman Baju Tradisi Etnik Inokang, James berkata, program itu bukan sekadar mengajar teknik sulaman, tetapi turut memupuk kefahaman terhadap sejarah, identiti dan nilai budaya masyarakat tempatan.
Beliau berharap kemahiran yang diperoleh peserta dapat diterjemahkan kepada peluang ekonomi melalui penghasilan produk kraftangan berkualiti yang mampu menembusi pasaran lebih luas.
“Saya mahu melihat hasil sulaman masyarakat Inokang dipasarkan ke seluruh Sabah, Malaysia malah ke peringkat antarabangsa. Dengan memanfaatkan media sosial, platform e-dagang dan pemasaran digital, hasil kraftangan tempatan mempunyai potensi besar untuk dipasarkan ke seluruh dunia.
“Kita tidak mengubah budaya, sebaliknya menggunakan teknologi sebagai medium untuk memastikan warisan itu terus hidup serta memberi manfaat ekonomi kepada masyarakat,” katanya.
James turut menggalakkan golongan belia supaya melihat kemahiran sebagai aset penting dalam membina masa depan.
Katanya, kejayaan hari ini bukan lagi bergantung kepada kelulusan akademik semata-mata, sebaliknya turut dipacu oleh kreativiti, kemahiran dan keberanian mencipta peluang.
Beliau berkata, daerah seperti Paitan memiliki kelebihan tersendiri melalui kekayaan budaya, hasil kraftangan, produk tempatan dan sumber alam yang boleh diperkasakan dengan ilmu, teknologi dan inovasi bagi merancakkan ekonomi komuniti.
Menurutnya, aspirasi itu selari dengan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya yang menekankan pembangunan inklusif sehingga ke kawasan luar bandar.
“Kejayaan membangunkan sesebuah kampung memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, agensi pelaksana, JKKK dan masyarakat setempat.
“Apabila semua pihak bergerak seiring, kita mampu membina masyarakat yang lebih bersatu, berilmu, berdaya saing dan sejahtera,” katanya.
Pada majlis itu, James turut menyampaikan watikah pelantikan kepada Ahli JKKK bagi sesi 2025–2030 sebelum merasmikan Kursus Kelas Asas Sulaman Baju Tradisi Etnik Inokang Daerah Paitan.


































