KOTA KINABALU: Rakyat disaran membudayakan amalan membandingkan harga, membuat pilihan secara bijak, memahami hak sebagai pengguna serta mengelakkan pembaziran bagi membantu mengurus tekanan kos sara hidup dengan lebih berkesan.
Setiausaha Politik kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Mohammad Ghazali Hajiji berkata, pengguna hari ini bukan sahaja perlu bijak ketika berbelanja, malah mesti beretika dan bertanggungjawab dalam setiap keputusan pembelian.
Amalan membandingkan harga, membuat pilihan yang tepat, memahami hak pengguna serta mengelakkan pembaziran merupakan antara langkah penting dalam membantu rakyat mengurus kos sara hidup, katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Fiesta Kepenggunaan KPDN Negeri Sabah 2026 di One Borneo Shopping Mall, di sini, petang tadi.
Menurut Ghazali, kerjasama erat antara kerajaan, peniaga dan pengguna amat penting bagi mewujudkan ekosistem perdagangan yang adil, telus serta berintegriti.
Katanya, penganjuran fiesta itu membuktikan komitmen Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam memperkasakan kesedaran masyarakat mengenai hak dan tanggungjawab sebagai pengguna, selain membuka ruang interaksi secara langsung antara rakyat dengan agensi kerajaan.
Pelbagai aktiviti turut diadakan sepanjang program berkenaan, termasuk Eksplorasi Celik Pengguna, pertandingan mewarna kanak-kanak, pertandingan Battle of the Band membabitkan pelajar institusi pengajian tinggi, pameran serta aktiviti interaktif bersama agensi kerajaan dan rakan strategik.
Ghazali berharap segala ilmu, maklumat dan manfaat yang diperoleh sepanjang program itu dapat dikongsi bersama keluarga serta masyarakat bagi membina budaya kepenggunaan yang lebih bijak, berhemah dan bertanggungjawab.






























