Wilfred Madius Tangau
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menggesa Kerajaan agar segera menggubal Akta Pelarian Malaysia sebagai suatu kerangka perundangan nasional yang komprehensif bagi menangani polemik pelarian di negara ini secara tuntas.
Menurutnya, ketiadaan undang-undang yang terperinci telah menyebabkan pengurusan isu pelarian di negara ini terpaksa bergantung sepenuhnya kepada dasar pentadbiran serta amalan semasa semata-mata.
“Saya dan beberapa rakan ahli parlimen lain sudah berulang kali membangkitkan isu-isu pelarian, pendatang asing tanpa izin (PATI), serta pelbagai kes berkaitan warga asing, namun sehingga kini masih belum ada penyelesaian tuntas.
“Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai PATI di Sabah telah ditubuhkan pada tahun 2012 untuk menyiasat isu kebanjiran warga asing ini, dan syor-syor juga telah dibentangkan di Dewan Rakyat tetapi malangnya sehingga hari ini tidak ada tindakan konkrit diambil oleh pihak Kerajaan.
“Maka kali ini, Tuaran mencadangkan agar Akta Pelarian Malaysia ini digubal dengan kadar segera bagi menangani isu pelarian yang berlanjutan,” katanya dalam ucapan perbahasan pada Persidangan Parlimen Dewan Rakyat di sini hari ini.
Madius berkata, umum mengetahui bahawa konflik bersenjata yang berlaku di Selatan Filipina sejak awal dekad 1970-an telah menyebabkan puluhan ribu rakyat Filipina melarikan diri ke Sabah untuk mendapatkan perlindungan.
Para pelarian tersebut jelasnya telah ditempatkan di enam skim penempatan utama di Sabah dengan kerjasama United Nations High Commissioner for Refugees (UNHCR) sebelum tanggungjawab pentadbirannya diambil alih oleh Kerajaan Negeri Sabah.
“Keadaan ini menimbulkan pelbagai cabaran dari segi keselamatan, penguatkuasaan undang-undang, pendidikan, kesihatan, peluang pekerjaan, kebajikan, hubungan antarabangsa dan perlindungan hak asasi manusia.
“Ini kerana Malaysia tidak mempunyai suatu kerangka perundangan nasional yang khusus bagi mentakrifkan status pelarian, mengawal selia hak dan tanggungjawab mereka, serta memperjelaskan bidang kuasa kerajaan dalam mengurus isu pelarian.
“Oleh yang demikian, akta baharu itu kelak perlu memperuntukkan takrifan jelas status pelarian, prosedur pendaftaran, mekanisme pengurusan yang menyeluruh, serta kaedah penyelesaian jangka panjang termasuk proses penghantaran pulang secara sukarela,” tambah beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.14 Tamparuli.
Sebagai langkah perundangan tambahan, Madius yang juga Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) turut mengusulkan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Pelarian dan Orang Tanpa Kerakyatan untuk menjalankan kajian komprehensif terhadap dasar pelarian negara.
“Isu pelarian bukan lagi isu sementara, malah ia telah menjadi realiti yang telah kita hadapi selama lebih lima puluh tahun.
“Justeru, saya berharap agar negara segera beralih kepada satu kerangka perundangan yang jelas demi memastikan kedaulatan dan keselamatan rakyat Malaysia sentiasa terpelihara pada masa hadapan,” katanya.
































