James melawat reruai pameran semasa SIG 2026 sambil diperhatikan Mohd. Lan (kanan).
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri komited memperkukuh pembangunan ekonomi kreatif sebagai pemacu pertumbuhan baharu Sabah dengan memberi penekanan kepada pembangunan bakat, inovasi dan teknologi bagi melahirkan modal insan yang mampu bersaing di peringkat nasional dan global.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk James Ratib berkata, landskap ekonomi dunia yang berubah pantas menjadikan kreativiti, inovasi dan teknologi sebagai faktor utama yang menentukan daya saing sesebuah negeri dan negara.
Beliau berkata, ekonomi masa depan tidak lagi bergantung semata-mata kepada sumber semula jadi, sebaliknya dipacu oleh keupayaan melahirkan masyarakat yang kreatif, inovatif dan mampu menghasilkan penyelesaian kepada cabaran semasa menerusi teknologi.
“Atas sebab itu, Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPSTI) terus komited membangunkan modal insan berteraskan ilmu, kreativiti dan inovasi bagi memastikan Sabah kekal berdaya saing dalam ekonomi global,” katanya ketika merasmikan Majlis SCENIC Impact Gathering (SIG) 2026 di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, hari ini.
James berkata, konsep Ekonomi Kreatif atau Orange Economy kini menjadi antara pemacu utama pembangunan ekonomi dunia kerana menjadikan kreativiti, budaya, inovasi, harta intelek dan teknologi sebagai sumber pertumbuhan baharu.
Menurutnya, model ekonomi itu bukan sahaja menghasilkan karya kreatif, malah mampu mencipta nilai ekonomi, membuka peluang pekerjaan berkualiti, menarik pelaburan serta memperkukuh daya tahan ekonomi sesebuah negeri.
Beliau berkata, Sabah mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai hab ekonomi kreatif berikutan kekayaan warisan budaya, kepelbagaian komuniti, kreativiti generasi muda serta perkembangan teknologi yang semakin pesat.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan Sabah Creative Economy and Innovation Centre (SCENIC) sebagai platform strategik yang memainkan peranan penting dalam membangunkan ekosistem ekonomi kreatif, inovasi dan teknologi di negeri ini.
Katanya, sepanjang enam tahun penubuhannya, SCENIC telah melaksanakan pelbagai program pembangunan bakat dan inisiatif dalam bidang kreatif, teknologi serta inovasi yang membuka peluang kepada lebih ramai anak Sabah meneroka bidang baharu dan mengembangkan potensi mereka dalam ekonomi masa depan.
“SCENIC telah membuktikan bahawa pembangunan ekonomi kreatif memerlukan ekosistem yang kukuh melibatkan kerjasama erat antara kerajaan, industri, institusi pendidikan dan komuniti.
“Hanya melalui sinergi yang mantap, kita mampu melahirkan lebih banyak inovasi, memperluas peluang ekonomi dan memberikan manfaat menyeluruh kepada rakyat serta pembangunan negeri Sabah,” katanya.
James turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga SCENIC atas dedikasi dan komitmen mereka sepanjang enam tahun lalu dalam memperkukuh ekosistem ekonomi kreatif, inovasi dan teknologi di Sabah.
Beliau berharap SCENIC akan terus menjadi pemangkin kepada lahirnya lebih banyak idea baharu, inovasi dan peluang ekonomi yang mampu menyokong pembangunan Sabah sebagai negeri yang progresif, berdaya saing dan berdaya tahan.
“Saya yakin usaha berterusan ini akan melahirkan lebih ramai bakat, lebih banyak idea dan lebih banyak inovasi yang akan membawa Sabah melangkah lebih jauh sebagai negeri yang maju dalam bidang pendidikan, sains, teknologi, inovasi dan ekonomi kreatif,” katanya.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Tetap I KPSTI, Doria Tai Yun Tyng dan Ketua Pegawai Eksekutif SCENIC, Mohd. Lan Muslim.
































