KOTA KINABALU: Pengguna aplikasi Sabah Smart Parking (SSP) di sekitar bandar raya ini berdepan gangguan operasi sementara hari ini apabila beberapa fungsi utama aplikasi berkenaan tidak dapat diakses atau mengalami masalah log masuk.
Menurut notis makluman yang dikeluarkan oleh DBKK Holdings Sdn. Bhd., gangguan itu menjejaskan beberapa perkhidmatan penting termasuk pembayaran caj letak kereta secara digital, semakan dan pembayaran kompaun, pembelian pas parkir bulanan serta penambahan nilai kredit (top-up).
Selain itu, akses kepada perkhidmatan modul iBERSIH dan beberapa fungsi lain dalam aplikasi turut terjejas sepanjang tempoh gangguan berkenaan.
Sehubungan itu, pihak pengurusan memaklumkan bahawa tindakan penguatkuasaan termasuk pengeluaran kompaun tidak akan dilaksanakan sepanjang tempoh gangguan sistem tersebut.
DBKK Holdings berkata, pihaknya sedang berusaha untuk memulihkan operasi aplikasi secepat mungkin bagi memastikan perkhidmatan dapat digunakan semula oleh orang ramai.
Pihak pengurusan turut memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami pengguna susulan gangguan berkenaan.
Orang ramai yang memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi Pejabat Pengurusan Tempat Letak Kereta DBKK Holdings di talian 088-270181 atau 088-270182, atau nombor telefon bimbit 012-7690181.
Notis gangguan operasi sementara aplikasi Sabah Smart Parking itu dikeluarkan oleh Bahagian Pengurusan Letak Kereta, DBKK Holdings Sdn. Bhd. hari ini.






























