KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menjelaskan bahawa individu yang dilihat berehat atau tidur di ruang lobi dan laluan Hospital Queen Elizabeth (HQE) seperti yang tular di media sosial bukan pesakit yang sedang menunggu giliran rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma (ETD).
Menurut JKNS, semakan awal mendapati kebanyakan mereka adalah waris, penjaga dan pengunjung yang datang dari luar daerah serta kawasan pedalaman untuk menemani ahli keluarga yang menerima rawatan di hospital berkenaan.
JKNS berkata, sebahagian daripada mereka berdepan kekangan untuk mendapatkan penginapan sementara di luar hospital, menyebabkan ruang lobi dan kawasan awam menjadi tempat mereka berehat pada waktu malam.
“Berhubung gambar yang memaparkan orang awam berehat atau tidur di ruang lobi dan laluan hospital pada waktu malam, semakan awal mendapati mereka bukan pesakit yang sedang menunggu giliran rawatan atau temu janji di Jabatan Kecemasan dan Trauma (ETD),” menurut kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, HQE sememangnya mempunyai balai pelawat untuk kegunaan waris pesakit.
Bagaimanapun, kemudahan sedia ada masih belum mencukupi bagi menampung jumlah waris yang ramai, khususnya ketika hospital menerima kemasukan pesakit yang tinggi.
JKNS berkata, pihak hospital memahami kesulitan yang dihadapi oleh waris pesakit, terutama mereka yang datang dari lokasi jauh dan perlu menunggu perkembangan rawatan ahli keluarga masing-masing.
Sehubungan itu, pihak pengurusan HQE akan terus memantau penggunaan ruang awam seperti lobi dan laluan utama bagi memastikan aspek keselamatan, kebersihan, keselesaan serta kelancaran pergerakan pesakit, waris dan petugas hospital sentiasa terpelihara.
Dalam kenyataan sama, JKNS turut menjelaskan bahawa perkhidmatan di ETD pada malam yang dipersoalkan berjalan seperti biasa.
Pesakit yang mendapatkan rawatan di ETD dinilai mengikut tahap kecemasan menerusi sistem triage dan bukannya berdasarkan nombor giliran semata-mata, dengan kes kritikal diberi keutamaan untuk menerima rawatan segera.
Bagi Zon Hijau (Green Zone), seramai 42 pesakit direkodkan antara jam 9 malam hingga 10 pagi dengan dua pegawai perubatan bertugas sepanjang tempoh tersebut.
JKNS turut memaklumkan bahawa kantin HQE beroperasi 24 jam setiap hari kecuali ditutup sementara setiap Sabtu dari jam 12 tengah malam hingga 5 pagi bagi tujuan kerja pembersihan berjadual.
Mengenai isu parkir, pihak hospital mengakui kemudahan parkir boleh menjadi terhad pada waktu tertentu apabila jumlah pesakit, waris dan pengunjung meningkat.
Sebagai langkah penambahbaikan, HQE akan memperkukuh pemantauan di kawasan lobi, laluan awam dan ruang menunggu pada waktu malam, selain meningkatkan komunikasi kepada pesakit dan waris mengenai proses menunggu serta keutamaan rawatan di ETD.
JKNS menegaskan pihaknya bersama HQE kekal komited memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan yang selamat, berhemah dan berterusan kepada semua pesakit di samping menambah baik kemudahan dan pengalaman orang awam dari semasa ke semasa.
































