KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) komited memainkan peranan sebagai pemudah cara bagi membantu menyelesaikan isu pelesenan yang sedang dihadapi sebahagian pengusaha pelancongan tempatan di Semporna.
Menterinya, Datuk Jafry Ariffin berkata, beliau mengambil maklum mengenai isu pelesenan berkenaan dan telah mengadakan perbincangan bersama pihak berkaitan bagi meneliti punca kelewatan kelulusan lesen.
Menurut beliau, hasil perbincangan tersebut mendapati masih terdapat beberapa permohonan lesen yang belum dapat diluluskan berikutan ketidaklengkapan dokumen, kegagalan memenuhi syarat pelesenan serta beberapa isu teknikal lain.
Beliau berkata, selain itu, Lesen Pendudukan Sementara atau Temporary Occupation Licence (TOL) pada masa ini tidak boleh dilesenkan di bawah peraturan yang sedang berkuat kuasa.
“Perkara ini memerlukan penelitian lanjut kerana ia melibatkan pematuhan terhadap undang-undang dan peraturan sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan.
Jafry turut memaklumkan bahawa Majlis Daerah Semporna sedang meneliti semula pelan pengezonan kawasan perairan, termasuk cadangan rezoning, bagi memastikan status kawasan berkenaan selaras dengan keperluan pembangunan pelancongan semasa.
Menurutnya, langkah itu penting bagi menyokong pertumbuhan industri pelancongan yang lebih teratur dan mampan di daerah tersebut.
Beliau berkata, KePKAS memahami cabaran yang dihadapi pengusaha pelancongan tempatan dan akan terus berusaha mencari penyelesaian terbaik bagi membantu mereka.
Sehubungan itu, beliau akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Mohd Arifin Arif, bagi meneliti isu berkenaan secara lebih menyeluruh.
Katanya, perbincangan tersebut bertujuan mencari penyelesaian yang praktikal demi membantu pengusaha tempatan tanpa menjejaskan pematuhan kepada undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.
Dalam masa sama, beliau menyeru semua pengusaha pelancongan supaya terus memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa dengan melengkapkan segala keperluan dan syarat pelesenan yang telah ditetapkan.
“Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan proses pelesenan dapat berjalan lancar dan mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya.
Jafry menegaskan KePKAS akan terus memainkan peranan sebagai pemudah cara dalam menyelaras perbincangan bersama kementerian, pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan bagi memastikan isu tersebut dapat diselesaikan secara menyeluruh.
Beliau berkata, matlamat utama kerajaan adalah memastikan industri pelancongan di Semporna terus berkembang secara sah, teratur dan mampan.
Pada masa sama, usaha itu juga penting bagi memperkukuh penyertaan pengusaha tempatan dalam memacu pertumbuhan ekonomi pelancongan Sabah serta memastikan manfaat pembangunan industri berkenaan dapat dinikmati oleh masyarakat setempat.






























