KOTA KINABALU: Malaysia-China Chamber of Commerce Sabah (MCCC Sabah) terus memperkukuh peranannya sebagai jambatan utama dalam menghubungkan Sabah dan China menerusi penganjuran Majlis Makan Malam Sambutan dan Jaringan Perniagaan bagi meraikan delegasi Dalian Federation of Industry and Commerce (China) di sini malam tadi.
Majlis itu menghimpunkan pemimpin perniagaan serta wakil pelbagai dewan perdagangan dan persatuan industri utama di Sabah bagi mengeratkan persahabatan, memperkukuh kerjasama serta mewujudkan platform lebih luas untuk pertukaran ekonomi dan perdagangan antara Dalian dan Sabah, sekali gus mempertingkatkan hubungan Malaysia-China.
Delegasi dari Dalian yang berada di Sabah dari 27 hingga 30 Jun itu terdiri daripada beberapa tokoh perniagaan termasuk Pengerusi Dalian Kowa Foods Co., Ltd., Liu Yong; Pengasas dan Pengerusi Dalian Shuiyifang Group, Zhou Jing; Naib Pengerusi Liaoning General Chamber of Entrepreneurs, Fredrik Choi; serta usahawan lain.
Sepanjang lawatan tersebut, delegasi berkenaan dijadual menyertai sesi jaringan perniagaan, lawatan korporat dan padanan perniagaan bagi meneroka peluang baharu dalam perdagangan, pelaburan dan kerjasama ekonomi antara kedua-dua pihak.
Presiden MCCC Sabah, Datuk Dexter Lau dalam ucapan alu-aluannya, mengalu-alukan ketibaan delegasi itu serta merakamkan penghargaan atas lawatan balas tersebut selepas MCCC Sabah mengadakan lawatan ke Dalian pada Mei lalu.
Beliau berkata, lawatan itu meneruskan persahabatan yang terjalin semasa kunjungan berkenaan dan membuka lembaran baharu dalam memperkukuh pertukaran serta kerjasama antara Dalian dan Sabah.
Menurutnya, MCCC Sabah sentiasa komited mempromosikan hubungan Malaysia-China bukan sahaja dalam bidang perdagangan dan pelaburan, malah meliputi hubungan kerajaan, perniagaan, pendidikan, kebudayaan, pelancongan, teknologi dan pembangunan belia.
“MCCC Sabah telah berkembang menjadi platform penting bagi kerjasama Malaysia-China. Kami mahu menjadi destinasi pertama bagi syarikat China yang ingin melabur di Sabah dan Malaysia Timur, di samping menjadi rakan paling dipercayai bagi syarikat Sabah yang ingin meneroka pasaran China,” katanya.
Beliau berkata, sejak penubuhannya, MCCC Sabah telah membina hubungan rapat dan rangkaian luas dengan kerajaan China di peringkat pusat, wilayah dan bandar, selain persekutuan industri dan perdagangan, persatuan perniagaan, perusahaan, agensi kerajaan Malaysia, agensi kerajaan negeri Sabah serta organisasi perniagaan utama.
Lau berkata, majlis makan malam itu turut disertai wakil Persatuan Graduan Universiti dan Kolej China Malaysia, Persatuan Alumni Graduan China Sabah serta ahli akademik dari Universiti Xiamen, sekali gus menambah dimensi pendidikan kepada program tersebut.
Menurutnya, kehadiran golongan akademik dan alumni itu memberi peluang kepada ahli MCCC Sabah, khususnya ibu bapa, untuk memahami dengan lebih mendalam sistem pendidikan tinggi serta persekitaran pembelajaran di China sebagai pilihan berkualiti untuk pendidikan anak-anak mereka pada masa hadapan.
Beliau menegaskan bahawa kerjasama ekonomi dan perdagangan, pertukaran budaya serta kolaborasi pendidikan saling melengkapi antara satu sama lain, sambil berharap hubungan pendidikan antara kedua-dua pihak dapat terus diperkukuh melalui lebih banyak program pertukaran belia dan kerjasama akademik.
Majlis tersebut turut menghimpunkan wakil daripada pelbagai dewan perniagaan, organisasi perdagangan pelbagai kaum, badan profesional, persatuan alumni China, syarikat China, jabatan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pemimpin masyarakat.
Antara yang hadir ialah wakil Persatuan Persahabatan Malaysia-China, Dewan Perniagaan China Sabah, Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME) Sabah, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Penampang, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Kota Kinabalu, Sabah Women Entrepreneurs and Professionals Association (SWEPA), Persatuan Usahawan Maju Malaysia (PUMM) Sabah, Kadazandusun Chamber of Commerce and Industry (KCCI), Dewan Perniagaan India Muslim Sabah, Sabah Bumiputera Chamber of Commerce (SBCC), Persekutuan Persatuan Cina Sabah, Persatuan Alumni Universiti China Malaysia, Persatuan Alumni Universiti China Sabah serta China Enterprises Chamber of Commerce in Malaysia (Sabah Chapter).
Lau berkata, sambutan menggalakkan daripada pelbagai sektor itu membuktikan pentingnya kerjasama Malaysia-China serta keupayaan MCCC Sabah menyatukan pelbagai pihak berkepentingan, menggembleng sumber dan berfungsi sebagai platform berkesan untuk kerjasama perniagaan.
“Kerjasama yang berjaya bermula dengan kepercayaan. MCCC Sabah akan terus memainkan peranan sebagai jambatan yang menghubungkan kedua-dua pihak, sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pertumbuhan bersama dan kemakmuran yang dikongsi,” katanya.
Beliau berharap lawatan delegasi Dalian kali ini menjadi titik permulaan kepada hubungan yang lebih erat dan menghasilkan lebih banyak pertukaran perniagaan, perkongsian pelaburan serta kerjasama projek antara Dalian dan Sabah.
Sementara itu, Liu dalam ucapannya menyifatkan Dalian sebagai antara bandar pesisir terawal di China yang mendapat manfaat daripada dasar reformasi dan keterbukaan negara itu, selain menjadi hab utama ekonomi marin China.
Katanya, Dalian memiliki industri perikanan marin dan pemprosesan makanan laut yang sangat maju, dengan sektor makanan lautnya memainkan peranan penting dalam pasaran China serta menjadikan bandar itu antara pangkalan pengeluaran makanan laut terbesar negara tersebut.
Beliau berkata, pada Mei lalu, Datuk Dexter mengetuai delegasi MCCC Sabah ke Dalian dan mengadakan pertukaran yang produktif dengan syarikat makanan serta pemprosesan makanan laut tempatan, sekali gus meletakkan asas kukuh bagi kerjasama masa depan.
Menurutnya, lawatan balas ke Sabah bertujuan memahami dengan lebih mendalam sumber semula jadi yang kaya serta kekuatan industri negeri ini, selain menterjemahkan hasil perbincangan terdahulu kepada projek kerjasama yang mampu memberi manfaat bersama dan mewujudkan situasi menang-menang.
Antara tetamu kehormat yang hadir ialah Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu, Dr. Zhu Xinglong; Presiden Kehormat MCCC Sabah, Datuk Lau Kok Sing; Timbalan Setiausaha Tetap I (Perindustrian) Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET), Haji Suhaib Ismail; Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Penampang, Datuk Victor Kou; Presiden SWEPA, Betty Epin; Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah, Julinus Jeffrey Jimit; Presiden SME Sabah, Dr. Deledda Tan; Pengerusi PUMM Sabah, Dolly Chin; Presiden Persatuan Graduan Universiti dan Kolej China Malaysia, Lim Kok Yan; Presiden Persatuan Alumni Graduan China Sabah, Teo Jinn Jiun; serta pemimpin perniagaan dan tokoh masyarakat lain.


































