Hajiji meninjau model Rizab Biosfera Banjaran Crocker.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, pengisytiharan Rizab Biosfera Kinabatangan, yang kedua di Sabah selepas Rizab Biosfera Banjaran Crocker, merupakan detik bersejarah dan pencapaian membanggakan bagi Sabah serta Malaysia.
Beliau berkata, pengiktirafan UNESCO terhadap Rizab Biosfera Kinabatangan pada tahun lalu membuktikan landskap Kinabatangan yang meliputi kira-kira 413,866 hektar mempunyai nilai biodiversiti yang luar biasa serta kepentingan ekologi bertaraf antarabangsa.
“Ini merupakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha berterusan negeri untuk memelihara kelestarian alam sekitar dan biodiversiti di peringkat global.
“Dengan status bertaraf dunia ini, Rizab Biosfera Kinabatangan dijangka menarik perhatian antarabangsa dalam bidang penyelidikan, pendidikan, pelancongan berasaskan alam semula jadi serta peluang kerjasama global,” katanya pada sambutan ulang tahun ke-12 Rizab Biosfera Banjaran Crocker dan majlis pengisytiharan Rizab Biosfera Kinabatangan di Padang Merdeka di sini hari ini.
Ketua Menteri berkata, Rizab Biosfera Banjaran Crocker yang meliputi kawasan seluas 350,584 hektar dan diisytiharkan pada tahun 2014 turut mempunyai nilai yang amat penting kepada Sabah.
Dianggarkan lebih satu juta penduduk tinggal di hampir 400 kampung dalam 10 daerah yang berada dalam kawasan Rizab Biosfera Banjaran Crocker iaitu Tuaran, Kota Kinabalu, Penampang, Ranau, Tambunan, Keningau, Tenom, Beaufort, Papar dan Membakut.
Menurut beliau, pengiktirafan Rizab Biosfera Banjaran Crocker telah menyumbang kepada pencapaian status Tapak Triple Crown UNESCO bagi Sabah.
Sehubungan itu, Hajiji menyeru semua pihak berkepentingan untuk terus memperkukuh usaha pemuliharaan biodiversiti, memperluas program kesedaran masyarakat dan meningkatkan kerjasama strategik bagi memastikan manfaat pengiktirafan tersebut dapat dinikmati secara meluas dan mampan.
“Ini selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri dalam melindungi dan memulihara alam semula jadi kerana fungsi ekosistem amat penting untuk kesejahteraan rakyat serta pembangunan sosioekonomi,” katanya.
Hajiji berkata, kewujudan kedua-dua rizab biosfera itu juga berkait rapat dengan usaha Kerajaan Negeri merealisasikan inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ), dengan pemuliharaan ekosistem penting Sabah diteruskan di bawah SMJ 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Beliau berkata, Sabah kini berada di barisan hadapan dalam usaha perlindungan dan pemuliharaan alam sekitar.
“Sejak sekian lama, Sabah melindungi hutan, hidupan liar dan antara ekosistem terkaya di rantau ini. Pada masa ini, hampir 30 peratus keluasan tanah Sabah telah diwartakan sebagai Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA).
“Kita juga bertekad untuk terus memperkukuh peranan Sabah sebagai penyerap karbon, termasuk menerusi Rizab Biosfera Banjaran Crocker dan Kinabatangan.
“Sabah kekal sebagai penyerap karbon bersih utama dengan menyumbang kira-kira 36 peratus daripada jumlah penyerapan karbon Malaysia melalui hutan tropika yang luas.
“Mesej utama yang perlu difahami ialah rizab biosfera menyokong kestabilan iklim, khususnya melalui fungsinya sebagai penyerap karbon,” katanya.
Hajiji berkata, kedua-dua rizab biosfera itu merupakan kawasan istimewa yang melindungi alam semula jadi sambil memastikan aktiviti manusia diurus secara mampan.
“Rizab Biosfera Banjaran Crocker melindungi ekosistem gunung dan hutan bagi memulihara flora dan fauna unik serta menyokong fungsi kawasan tadahan air.
“Manakala Rizab Biosfera Kinabatangan memberi tumpuan kepada ekosistem sungai dan tanah lembap yang menjadi habitat penting hidupan liar serta memainkan peranan besar dalam mengekalkan sistem air yang sihat.
“Apabila hutan dilindungi dan dibenarkan pulih serta menjana semula secara semula jadi, ia akan terus menyimpan karbon untuk jangka masa panjang,” katanya.
Beliau berkata, rizab biosfera juga memainkan peranan penting dalam memperkukuh ekonomi tempatan, sambil menegaskan bahawa usaha pemuliharaan akan lebih berkesan apabila masyarakat turut menerima manfaat daripada usaha melindungi alam sekitar.
“Di Banjaran Crocker dan Kinabatangan, komuniti setempat boleh memperoleh manfaat menerusi pelancongan mampan termasuk program inap desa dan perusahaan berasaskan komuniti.
“Peluang sumber pendapatan jangka panjang ini menggalakkan masyarakat terus melindungi hutan dan hidupan liar kerana alam sekitar menjadi sumber pendapatan yang stabil, bukannya sumber keuntungan jangka pendek.
“Oleh itu, kita mesti memastikan pengiktirafan kedua-dua rizab biosfera ini membawa manfaat serta limpahan ekonomi kepada semua lapisan masyarakat yang tinggal dalam kawasan rizab biosfera berkenaan,” katanya.




























