Anwar menyampaikan Geran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Progresif kepada KRT Menumpang, Kuala Penyu, sambil disaksikan Hajiji, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah kekal komited memastikan perpaduan dan keharmonian terus menjadi asas kepada pembangunan negeri, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri sentiasa menyokong program yang memupuk perpaduan dengan menghimpunkan rakyat daripada pelbagai latar belakang, sekali gus mengukuhkan hubungan dalam kalangan masyarakat.
“Kita juga mendukung aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan konsep kesejahteraan, ihsan, saling menghormati dan kemampanan dalam pembangunan negara sebagai asas kepada perpaduan yang kukuh serta kemakmuran bersama,” katanya pada sambutan Minggu Perpaduan Kebangsaan di perkarangan Kompleks Sukan Likas, di sini, hari ini.
Hajiji berkata, pemilihan Sabah sebagai tuan rumah sambutan Minggu Perpaduan Kebangsaan tahun ini merupakan satu penghormatan besar kepada negeri ini.
“Pada masa yang sama, ia juga merupakan pengiktirafan terhadap cara hidup rakyat Sabah yang sejak sekian lama menjadikan keharmonian dan kebersamaan sebagai warisan berharga yang diwarisi dari satu generasi ke generasi berikutnya,” katanya.
Beliau menyifatkan perkara itu sebagai sumbangan terbesar Sabah kepada usaha pembinaan negara bangsa di Malaysia.
“Kita juga melihat saudara-saudara kita dari Semenanjung Malaysia dan Sarawak yang berada di sini bukan sekadar sebagai tetamu, tetapi sebagai anggota satu keluarga besar Malaysia,” katanya.
Ketua Menteri turut mengajak seluruh rakyat untuk menghayati dan mentakrifkan semula makna perpaduan sebagai persediaan menghadapi masa depan yang lebih mencabar.
“Perpaduan yang sebenar tidak lagi boleh diukur hanya melalui tingkah laku yang sopan atau toleransi pasif.
“Sebaliknya, perpaduan yang tulen memerlukan tindakan yang nyata, komitmen yang berterusan, keikhlasan, saling menghormati dan yang paling penting, jaminan keadilan sosioekonomi serta kesaksamaan untuk setiap wilayah.
“Sesebuah institusi keluarga, apatah lagi sebuah negara majmuk yang besar seperti Malaysia, hanya akan benar-benar kuat dan berdaya tahan apabila setiap anggotanya serta setiap negeri dan wilayah berasa dihargai, dilindungi dan dibangunkan secara adil dan saksama.
“Dengan semangat kekitaan dan kebersamaan yang tulen sebagai satu keluarga besar Malaysia, hidup dalam perpaduan adalah penting dan hidup dalam keharmonian juga sama penting dalam mencapai kemakmuran serta kesejahteraan yang berkekalan,” katanya.
Hajiji turut menyeru rakyat Sabah agar terus memelihara keharmonian, menghargai kepelbagaian etnik dan agama serta memperkukuhkan semangat muhibah yang sekian lama menjadi identiti unik rakyat negeri ini.
“Dengan kerjasama yang kukuh, tumpuan kita terhadap perpaduan dan pembangunan sudah pasti dapat dicapai dengan lebih berkesan melalui kesepakatan sosial dan komitmen politik yang melibatkan semua pihak.
“Marilah kita terus memperkukuhkan komitmen bersama untuk memelihara kemakmuran, memperteguh perpaduan dan memastikan keharmonian yang kita nikmati hari ini dapat terus diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya.






























