KOTA KINABALU: Horizon Hotel Kota Kinabalu akan menganjurkan Program Derma Darah Tahunan pada 27 Jun ini sebagai sebahagian daripada komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) hotel dalam membantu memastikan bekalan darah di negeri ini sentiasa mencukupi.
Program yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang di Horizon Hall, Tingkat 1, Horizon Hotel Kota Kinabalu itu dianjurkan dengan kerjasama KPJ Sabah Specialist Hospital dan Unit Perubatan Transfusi Hospital Queen Elizabeth (HQE).
Pengurus Jualan dan Pemasaran Horizon Hotel, Nur Idayu Bujang berkata, program berkenaan dilaksanakan secara konsisten bagi menyokong usaha pihak hospital memastikan bekalan darah mencukupi untuk kegunaan pesakit di Sabah.
“Setiap beg darah yang didermakan mampu memberi harapan baharu kepada mereka yang memerlukan rawatan. Kami percaya bahawa usaha kecil daripada setiap individu mampu memberikan impak besar kepada masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, program itu juga menjadi platform untuk menggalakkan lebih ramai anggota masyarakat menyertai aktiviti kesukarelawanan serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pendermaan darah secara berkala.
Menurutnya, program berkenaan diharap dapat menyatukan komuniti daripada pelbagai latar belakang untuk bersama-sama menyumbang kepada satu tujuan yang amat bermakna iaitu menyelamatkan nyawa.
“Melalui program ini, kami berharap dapat menyatukan komuniti daripada pelbagai latar belakang untuk bersama-sama menyumbang kepada satu tujuan yang sangat bermakna iaitu menyelamatkan nyawa. Setiap titisan darah yang didermakan adalah hadiah yang tidak ternilai buat mereka yang memerlukan,” tambah beliau.
Sebagai penghargaan kepada para penderma, hadiah percuma akan diberikan kepada semua penderma yang berjaya, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.
Selain itu, kemudahan parkir percuma turut disediakan kepada penderma dan pengunjung sepanjang program berlangsung.
Orang ramai dijemput hadir dan mengambil bahagian dalam program berkenaan sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkukuhkan bekalan darah negeri serta membantu golongan yang memerlukan.
Program Derma Darah Tahunan itu akan berlangsung pada Sabtu, 27 Jun 2026, bermula jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang di Horizon Hall, Tingkat 1, Horizon Hotel Kota Kinabalu.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian 088-518000atau WhatsApp 012-5822188 dan 012-8382081.
































