Anwar merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026.
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah berharap komitmen Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan tuntutan 40 peratus hasil negeri diterjemahkan melalui semakan semula kadar Pemberian Khas di bawah Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan, kata Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.
Beliau berkata, komitmen yang dinanti-nantikan rakyat Sabah itu wajar disusuli dengan tindakan konkrit bagi meningkatkan kadar pemberian khas semasa yang kini dilaksanakan menerusi pengaturan interim antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
“Sesungguhnya, komitmen ini sudah lama dinantikan dan wajar dihargai oleh seluruh rakyat di Sabah.
“Sehubungan itu, adalah amat diharapkan agar komitmen tersebut dapat terus dimaknai dan disusul dengan tindakan menyemak semula kadar pemberian khas di bawah Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan bersandarkan kepada hak 40 peratus,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Hongkod Koisaan KDCA, di sini, hari ini.
Dr. Joachim yang juga Pemgerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Pesta Kaamatan Negeri Sabah berkata, meskipun proses perundangan berkaitan perkara itu masih berjalan di peringkat rayuan, isu berkaitan hak semasa Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan perlu terus diberi perhatian.
“Sungguhpun proses mahkamah di peringkat rayuan akan berlangsung, namun perkara terkait dengan hak semasa 40 peratus berhubung special grant ini perlu disemak dengan peningkatan daripada kadar semasa yang telah diwartakan melalui interim arrangement,” katanya.
Beliau berkata, pendirian Kerajaan Negeri berhubung perkara itu telah dikemukakan melalui platform rundingan rasmi antara Sabah dan Kerajaan Persekutuan.
Katanya, Sabah berharap peningkatan kadar Pemberian Khas baharu dapat dilaksanakan bermula tahun ini bagi membolehkan Kerajaan Negeri mempunyai ruang fiskal yang lebih kukuh.
“Sebagaimana pendirian Kerajaan Negeri yang telah dikemukakan melalui platform rundingan rasmi, Sabah mengharapkan agar kita akan menerima peningkatan kadar pemberian khas baharu bermula tahun 2026 ini,” katanya.
Menurut beliau, tambahan hasil menerusi semakan kadar pemberian khas itu akan membolehkan lebih banyak projek pembangunan rakyat dilaksanakan, khususnya dalam sektor infrastruktur asas.
“Peningkatan kadar special grant bermula tahun ini akan mengupayakan ruang fiskal tambahan kepada Kerajaan Negeri untuk melaksanakan projek-projek pembangunan rakyat.
“Khususnya berhubung penstabilan bekalan air dan jaringan infrastruktur jalan raya dan jambatan yang kebetulan terkait dengan kefungsian kementerian yang saya pimpin,” katanya.
Dalam pada itu, Dr. Joachim turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas pelbagai inisiatif dan bantuan yang telah disalurkan kepada Sabah sepanjang pentadbiran Kerajaan MADANI.
Beliau berkata, rakyat Sabah telah menerima manfaat daripada pelbagai program termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta usaha membasmi kemiskinan tegar yang turut diperkukuhkan melalui pelaksanaan Program Sentuhan Kasih Rakyat Sabah (SYUKUR) oleh kerajaan negeri.
Selain itu, beliau menyambut baik keputusan Kerajaan Persekutuan menyerahkan kuasa pelaksanaan 83 projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) bernilai RM4.06 bilion kepada kerajaan negeri bagi mempercepat penyediaan kemudahan air di kawasan luar bandar.
“Namun, kita juga perlu menerima hakikat bahawa Sabah merupakan sebuah negeri yang luas dan masih memerlukan banyak peruntukan untuk pembangunan infrastruktur.
“Oleh itu, mudah-mudahan tuntutan 40 peratus yang dinantikan oleh seluruh rakyat Sabah dapat dipercepatkan,” katanya.
































