KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun (Dr.) Musa Aman menyeru rakyat negeri ini supaya terus memelihara perpaduan, keharmonian dan warisan budaya yang menjadi asas kekuatan Sabah sempena sambutan Pesta Kaamatan 2026.
Dalam perutusan Kaamatan beliau, Tun Musa berkata, sambutan Pesta Kaamatan yang diraikan setiap 30 dan 31 Mei merupakan antara perayaan kebudayaan paling bermakna di Sabah.
Katanya, perayaan itu berakar daripada rasa kesyukuran terhadap hasil tuaian yang melimpah ruah serta tradisi yang diwarisi turun-temurun.
“Pesta Kaamatan melambangkan kekayaan warisan budaya, semangat kental dan perpaduan rakyat Sabah.
“Walaupun peranan penanaman padi dalam kehidupan masyarakat telah berubah seiring arus pemodenan dan perkembangan semasa, inti pati Kaamatan sebagai perayaan kesyukuran, kebersamaan dan saling menghormati tetap kekal utuh,” katanya dalam Perutusan Kaamatan 2026 yang turut disampaikan bersama isteri beliau, Toh Puan Faridah Tussin.
Tun Musa berkata, kepelbagaian masyarakat Sabah yang terdiri daripada lebih 30 kumpulan etnik dan pelbagai subetnik merupakan kekuatan terbesar negeri ini.
Menurutnya, Kaamatan kini berkembang menjadi perayaan yang menyatukan seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.
“Keharmonian dan persefahaman yang dinikmati rakyat Sabah sejak sekian lama terus menjadi contoh kepada negara.
“Justeru, kita mesti terus menolak sebarang unsur perpecahan, fahaman ekstrem dan sentimen sempit yang boleh menggugat perpaduan serta muhibah yang telah lama dipupuk bersama,” katanya.
Dalam pada itu, Tun Musa berkata, pembangunan dan pertumbuhan ekonomi Sabah perlu dilaksanakan secara inklusif supaya tiada komuniti atau kawasan yang tercicir daripada arus kemajuan.
Katanya, perhatian berterusan perlu diberikan kepada aspek pendidikan, latihan kemahiran, pembangunan infrastruktur, capaian digital dan peluang ekonomi khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Beliau turut menekankan kepentingan memperkasakan generasi muda dengan ilmu pengetahuan, disiplin, daya tahan dan nilai murni bagi memastikan mereka mampu menyumbang kepada masa depan negeri.
“Dalam masa yang sama, kita mesti terus memelihara dan menghargai tradisi budaya, warisan masyarakat pribumi serta nilai-nilai yang diwariskan oleh nenek moyang kita.
“Tradisi, bahasa, seni dan adat resam masyarakat kita merupakan khazanah yang amat bernilai serta menjadi identiti dan jiwa Negeri Sabah,” katanya.
Menurut beliau, menjadi tanggungjawab bersama untuk memastikan warisan budaya itu terus subur, dihargai dan diwariskan kepada generasi akan datang.
Sempena sambutan Kaamatan tahun ini, Tun Musa turut mengajak rakyat Sabah supaya terus mensyukuri nikmat keamanan serta memperkukuhkan semangat perpaduan, kasih sayang dan keprihatinan sesama masyarakat.
“Saya dan isteri sekali lagi mengucapkan Selamat Menyambut Pesta Kaamatan kepada seluruh rakyat Sabah yang meraikannya.
“Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan,” katanya.
































