KOTA BELUD: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki warga Indonesia yang dipercayai terjatuh ke dalam sungai di Kampung Paka-Paka di sini, diteruskan hari ini.
Mangsa berusia 42 tahun itu dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh ke sungai ketika menjalankan aktiviti menarik pasir menggunakan bot penarik pada jam 6 petang semalam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 8.58 malam.
Katanya, pasukan bomba tiba di lokasi kejadian pada jam 9.10 malam selepas menempuh perjalanan sejauh 10 kilometer.
“Menurut pemanggil, mangsa dipercayai terjatuh ke dalam sungai semasa menjalankan aktiviti menarik pasir menggunakan bot penarik.
“Operasi SAR hari kedua dimulakan pada jam 8 pagi tadi bersama agensi-agensi penyelamat lain di lokasi terakhir mangsa dipercayai terjatuh,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, teknik pencarian dilakukan menggunakan kaedah water surface search and rescue di persisiran sungai.
Operasi diketuai PBK II Jasree Mar, manakala Komander Operasi Kanan ialah Ketua Balai BBP Kota Belud, PKPgB Elge Bakuk.
Seramai tiga anggota BBP Kota Belud bersama sebuah kenderaan pacuan empat roda VIGO terlibat dalam operasi berkenaan.
Turut membantu dalam operasi ialah tujuh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tujuh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Setakat ini mangsa masih belum ditemukan dan operasi SAR akan diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya.
































