KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun (Dr.) Musa Aman menyeru rakyat negeri ini agar terus menghayati semangat pengorbanan, keikhlasan dan perpaduan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha 1447 Hijrah.
Beliau berkata, sambutan Aidiladha merupakan antara peristiwa penting dalam kalendar Islam yang sarat dengan pengajaran, khususnya melalui kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS yang melambangkan ketaatan tidak berbelah bahagi kepada perintah Allah SWT.
Menurutnya, nilai pengorbanan yang ditonjolkan bukan sahaja terhad kepada ibadah korban, tetapi turut merangkumi pengorbanan masa, tenaga dan fikiran demi keluarga, masyarakat serta negeri dan negara.
“Dalam dunia yang semakin mencabar hari ini, rakyat perlu terus memperkukuh semangat kebersamaan, tolong-menolong dan toleransi bagi memastikan keharmonian yang dikecapi selama ini terus terpelihara,” katanya dalam perutusan Hari Raya Aidiladha 1447H/2026.
Tun Musa berkata, Sabah amat bertuah kerana didiami oleh masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya yang hidup dalam suasana saling menghormati dan bertoleransi.
Katanya, keunikan tersebut merupakan kekuatan yang perlu terus dipelihara oleh semua lapisan masyarakat.
“Saya percaya semangat perpaduan yang kukuh akan menjadi asas penting dalam memastikan kestabilan dan kemajuan negeri terus terjamin,” katanya.
Beliau turut mengajak rakyat Sabah untuk terus menyemai nilai kasih sayang, saling memahami dan hormat-menghormati antara satu sama lain.
Menurutnya, sebarang perbezaan yang boleh menjejaskan hubungan dalam masyarakat perlu diketepikan, sebaliknya digantikan dengan semangat muafakat dan kerjasama demi masa depan negeri yang lebih baik dan makmur.
Dalam pada itu, beliau berharap sambutan Aidiladha tahun ini dapat menjadi medan untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan dan silaturahim dalam kalangan masyarakat.
Katanya, amalan ziarah-menziarahi, bermaaf-maafan serta berkongsi rezeki dengan golongan memerlukan wajar diteruskan kerana ia menjadi asas kepada pembentukan masyarakat penyayang.
Tun Musa turut merakamkan penghargaan kepada barisan hadapan, anggota keselamatan, petugas kesihatan, penjawat awam serta semua pihak yang terus menjalankan tanggungjawab demi kesejahteraan rakyat dan keamanan negeri, termasuk ketika musim perayaan.
Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada jemaah haji dari Sabah dan seluruh Malaysia yang kini berada di Tanah Suci bagi menunaikan ibadah haji.
“Kita doakan agar mereka dikurniakan kesihatan yang baik, dipermudahkan segala urusan serta memperoleh haji yang mabrur,” katanya.
Kepada umat Islam yang melaksanakan ibadah korban, beliau berharap ia dilakukan dengan penuh keikhlasan serta mematuhi tuntutan syariah.
Menurutnya, semangat pengorbanan melalui ibadah tersebut harus terus menyemai sifat rendah diri, kesyukuran dan keprihatinan terhadap golongan kurang bernasib baik.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan rakyat agar sentiasa mengutamakan keselamatan sepanjang musim perayaan, khususnya bagi mereka yang pulang ke kampung halaman atau menziarahi sanak saudara.
“Utamakan keselamatan di jalan raya dan sentiasa berhati-hati demi kesejahteraan semua,” katanya.
Tun Musa bersama Toh Puan Faridah Tussin menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha 1447 Hijrah kepada seluruh umat Islam, khususnya rakyat Sabah di mana jua berada.
Beliau berharap sambutan Aidiladha tahun ini akan membawa keberkatan, keamanan dan kebahagiaan, sekali gus memperkukuh perpaduan serta keharmonian Sabah.






























