KOTA KINABALU: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin menyuarakan kebimbangan serius susulan penemuan seekor gajah Borneo mati di kawasan hutan nurseri dalam Rizab Hutan Sungai Pinangah, Tongod, yang dipercayai melibatkan unsur jenayah hidupan liar.
Beliau berkata, kejadian itu amat mendukacitakan dan tidak boleh dipandang ringan memandangkan spesies gajah Borneo merupakan antara hidupan liar ikonik serta dilindungi di Sabah.
Menurut laporan pemeriksaan awal di lapangan oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah (SWD), operasi pemeriksaan dijalankan pada kelmarin dari jam 12.13 tengah hari hingga 3.30 petang di lokasi kejadian, melibatkan pegawai SWD, Renjer Komuniti serta Polis Diraja Malaysia.
Katanya, pasukan hidupan liar Kinabatangan menerima aduan kira-kira jam 8.25 pagi pada hari sama berhubung penemuan bangkai gajah yang disyaki berkaitan jenayah hidupan liar.
Maklumat awal turut menyatakan bahawa pada 17 Mei 2026 sekitar jam 5.30 petang, kakitangan sebuah ladang di Tongod terdengar bunyi letupan kuat, namun pemeriksaan tidak dapat dilakukan segera berikutan hujan lebat berterusan sepanjang malam.
Keesokan paginya kira-kira jam 6.30 pagi, pengurus ladang bersama kakitangan menjalankan pemantauan sebelum menemui bangkai gajah tersebut dengan bahagian kepala dan gading hilang, dipercayai dipotong dengan sengaja.
Pemeriksaan awal mendapati haiwan itu dipercayai gajah Borneo jantan (Elephas maximus borneensis) dengan ketinggian kira-kira 2.9 meter serta ukuran tapak kaki 1.45 meter.
Gajah berkenaan didapati mengalami kesan hirisan berbentuk ‘L’ pada bahagian muka dan mulut menggunakan alat tajam, selain gadingnya dipercayai telah dipotong dan dibawa keluar. Terdapat juga kesan potongan pada bahagian kepala.
Setakat ini, tiada kesan tembakan ditemui pada bahagian badan yang diperiksa, namun pemeriksaan menyeluruh masih dijalankan. Keadaan hujan lebat ketika kejadian turut menyukarkan pihak penyiasat mengenal pasti jejak dan bukti di lokasi.
Punca sebenar kematian masih belum dikenal pasti dan bedah siasat bersama siasatan lanjut akan dijalankan oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah.
Jafry menegaskan bahawa tindakan tegas tanpa kompromi mesti diambil sekiranya siasatan mengesahkan wujud aktiviti pemburuan haram, pengambilan gading secara ilegal atau kesalahan lain berkaitan hidupan liar.
Beliau turut mengarahkan Jabatan Hidupan Liar Sabah mempergiat siasatan terperinci, memperkukuh operasi penguatkuasaan dan rondaan, selain meneruskan kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia serta meningkatkan pemantauan di koridor pergerakan hidupan liar dan kawasan berisiko tinggi.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk pegawai SWD, Renjer Komuniti dan polis yang terlibat dalam tindakan segera serta siasatan di lapangan.
“Kita tidak boleh membiarkan Sabah menjadi lokasi jenayah hidupan liar. Setiap kehilangan spesies dilindungi adalah kehilangan kepada warisan semula jadi dan masa depan biodiversiti Sabah,” katanya.
Beliau turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu pihak berkuasa bagi memastikan siasatan menyeluruh dapat dilaksanakan serta tindakan sewajarnya diambil.






























