LABUAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah menyita sebuah kenderaan mewah jenis BMW X5 dalam Ops Khas Luxury yang dijalankan di Jalan Merdeka, di sini.
Menurut JPJ Sabah, kenderaan tersebut dikesan melakukan kesalahan apabila Lesen Kenderaan Motor (LKM) didapati telah tamat tempoh.
“Kesalahan ini merupakan pelanggaran peraturan dan undang-undang jalan raya di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), khususnya Seksyen 23(1),” menurut kenyataan itu.
JPJ Sabah berkata, kenderaan berkenaan telah disita untuk tindakan lanjut selaras dengan peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tambahnya, operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan undang-undang dalam kalangan pengguna jalan raya.
“JPJ tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas termasuk pendakwaan di mahkamah terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan yang berkuat kuasa,” katanya.
Sehubungan itu, JPJ Sabah mengingatkan semua pemilik kenderaan agar memastikan LKM dan perlindungan insurans sentiasa aktif bagi melindungi pengguna jalan raya serta menjamin keselamatan bersama.






























