Liane dinobatkan juara Unduk Ngadau Bandaraya Kota Kinabalu 2026.
KOTA KINABALU : Liane Melve Grace Lias muncul juara pertandingan akhir Unduk Ngadau Bandaraya Kota Kinabalu 2026 selepas menewaskan 14 peserta lain pada acara yang berlangsung di sini, pada Ahad.
Kemenangan itu melayakkan Liane membawa pulang wang tunai bernilai RM12,000 beserta mahkota, piala dan jambangan bunga, sekaligus mewakili Bandaraya Kota Kinabalu ke pertandingan akhir Unduk Ngadau Kaamatan Peringkat Negeri Sabah yang dijadual berlangsung pada 31 Mei ini di Hongkod Koisaan, KDCA.
Bagi kategori khas KDCA, Joyce Nia David dinobatkan sebagai Unduk Ngadau KDCA Tanjung Aru selaku naib juara dengan membawa pulang wang tunai RM10,000 beserta tiara, piala dan jambangan bunga.
Tempat ketiga pula dimenangi Felecity Chen Sing Yee menerusi gelaran Unduk Ngadau KDCA Bandaraya yang membawa pulang wang tunai RM8,000 beserta tiara, piala dan jambangan bunga.
Sementara itu, Sharlene Adelaide Alexandra menduduki tempat keempat disusuli Nicole Lynn Maurice di tempat kelima, Jacqueency Jwen John di tempat keenam dan di tempat ketujuh Divya Flavia Chai masing-masing membawa pulang wang tunai dan hadiah iringan.
Acara itu turut diserikan dengan kehadiran tiga pemenang Unduk Ngadau Bandaraya Kota Kinabalu 2025 iaitu Evanatie Sannie, Cherub Sharleena Cassdey dan Nelmui Muhari.
Lapan peserta saguhati turut menerima wang tunai RM1,000 setiap seorang yang disampaikan oleh Pengurus Besar Asian Pac Holdings Berhad, Kevin Loh.
Kira-kira 3,000 pengunjung membanjiri lokasi pertandingan bagi menyaksikan pentas akhir yang berlangsung dalam suasana penuh meriah.
Turut hadir, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin dan Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Sabin Samitah.






























