Hajiji menyerahkan insentif kepada Emmabell di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menyampaikan insentif Kerajaan Negeri berjumlah RM5,000 kepada atlet Muaythai Sabah, Emmabell Cassandra sebagai pengiktirafan atas kejayaan cemerlangnya di pentas antarabangsa.
Penyerahan insentif itu berlangsung di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini hari ini.
Ketua Menteri turut merakamkan ucapan tahniah serta menyatakan rasa bangga terhadap pencapaian Emmabell yang berjaya mengharumkan nama Sabah dan negara selepas menjuarai kategori wanita dalam kejohanan Byon Combat Showbiz 7 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Jumaat lalu.
Beliau berkata, kejayaan itu membuktikan keupayaan atlet negeri ini untuk bersaing dan menyerlah di peringkat antarabangsa, sekali gus menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk menceburi bidang sukan.
Majlis penyerahan insentif itu turut dihadiri Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan; Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri, Datuk Juil Nuatim; dan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Mansur Asun.































