Madius menerima cenderamata daripada Pengerusi Penganjur Hannevy W. Harry.
TUARAN: Kerajaan Negeri akan mempergiat usaha memelihara dan mempromosi warisan budaya Sabah melalui pelaksanaan Pemetaan Budaya Etnik 2026–2030 yang akan bermula tahun ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, inisiatif lima tahun itu bertujuan mendokumentasikan secara sistematik kepelbagaian etnik dan budaya negeri ini, bukan sahaja sebagai rujukan berharga untuk generasi kini dan akan datang, malah sebagai tarikan tambahan kepada pelancong.
Hajiji berkata demikian pada acara Sodop Unduk Ngadau dan Grand Final Randawi Tavantang Kaamatan (RTK) peringkat daerah Tuaran yang diadakan di Shangri-La Rasa Ria di sini malam ini. Teks ucapan beliau disampaikan oleh Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.
Sementara itu, Ketua Menteri berkata, acara Sodop Unduk Ngadau yang diadakan bersempena Pesta Kaamatan bukan sekadar mempamerkan pakaian tradisional, malah turut berperanan memperkenalkan serta mengangkat keindahan dan keunikan warisan budaya masyarakat Kadazandusun, Murut dan Rungus kepada generasi muda.
Hajiji turut mengalu-alukan inisiatif penganjur memperkenalkan pertandingan RTK atau Mister Kaamatan, yang disifatkannya sebagai platform bermakna untuk golongan belia menonjolkan personaliti, bakat dan ciri kepimpinan.
“Pertandingan ini amat signifikan kerana bukan sahaja mengetengahkan potensi belia di daerah ini, malah membentuk generasi yang berkeyakinan dan berkeupayaan untuk tampil sebagai pemimpin masa depan serta terus menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negeri,” katanya.
Beliau menambah bahawa Pesta Kaamatan kekal sebagai warisan budaya yang amat bernilai bagi rakyat Sabah, mencerminkan sejarah dan tradisi masyarakat Kadazandusun, Murut dan Rungus, di samping melambangkan kesyukuran, perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
“Sehubungan itu, Kaamatan harus menjadi platform untuk kita menghayati perpaduan dalam kepelbagaian serta memupuk kehidupan yang aman, harmoni dan sejahtera,” katanya.
Hajiji berkata, tema Kaamatan tahun ini, “Kaamatan: Menuai Perpaduan, Merayakan Keharmonian,” membawa makna yang mendalam.
“Ia menggambarkan bagaimana hasil tuaian bukan sahaja melambangkan rezeki dan kesyukuran, tetapi juga perpaduan masyarakat dalam menghayati nilai hormat-menghormati dan keharmonian yang menjadi kekuatan Sabah.
“Semangat inilah yang perlu terus kita pelihara agar warisan budaya ini kekal hidup dan terus menjadi jambatan yang mengeratkan hubungan antara semua kaum dan lapisan masyarakat di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata, Kaamatan juga perlu terus berperanan sebagai platform untuk mempromosikan kekayaan budaya, produk pelancongan dan hasil pertanian Sabah.
Hajiji turut berharap agar minat terhadap warisan budaya Sabah akan terus subur dan diwarisi oleh generasi akan datang agar tidak luput ditelan zaman.






























