Wong (tengah) bersama Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Simon Fellows (enam dari kanan), serta kenamaan lain pada Upacara Subuh Hari Anzac.
SANDAKAN: Hari Anzac bukan sahaja memperingati tawanan perang (POW) yang menderita dan terkorban semasa Perang Dunia Kedua, tetapi juga menghargai keberanian serta keprihatinan ramai pihak termasuk rakyat tempatan Sabah, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
“Pada hari ini, ketika kita mengimbas sejarah bersama antara Australia, Britain dan Malaysia, kita mengiktiraf bahawa hubungan antara rakyat kita dibina bukan sahaja melalui konflik, tetapi juga melalui nilai kemanusiaan.
“Legasi mereka yang menderita di Sandakan tidak dapat dipisahkan daripada legasi mereka yang membantu mereka untuk terus hidup, walaupun hanya untuk suatu tempoh yang singkat,” katanya pada Upacara Subuh Hari Anzac di Taman Peringatan Sandakan di sini hari ini. Teks ucapan beliau disampaikan oleh Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee.
Hajiji berkata, ribuan tawanan perang Australia dan Britain melalui penderitaan yang amat berat di kem-kem di seluruh Asia Tenggara semasa Perang Dunia Kedua, termasuk di Sandakan.
“Kem-kem di Sandakan dan Ranau menjadi simbol penderitaan yang amat dahsyat akibat kekejaman — penyeksaan, kebuluran, buruh paksa serta perarakan maut yang terkenal, yang meragut nyawa hampir semua yang ditawan.
“Namun, dalam keadaan paling gelap sekali pun, nilai kemanusiaan tetap wujud. Penduduk kampung bersama keluarga mereka mempertaruhkan nyawa untuk membantu para tawanan.
“Kita mengenang dengan penuh bangga keberanian penduduk tempatan yang sanggup mengambil risiko untuk memberikan perlindungan dan bantuan. Setiap tawanan yang terselamat berhutang nyawa kepada mereka yang melindungi dan menyokong mereka sehingga peluang untuk diselamatkan tercapai.
“Membantu tawanan ini adalah satu kesalahan besar yang boleh dihukum dengan pukulan atau kematian, namun penduduk kampung tetap bertindak kerana itu adalah perkara yang benar,” katanya.
Ketua Menteri berkata, keberanian penduduk kampung itu menjadi contoh bahawa walaupun dalam saat paling mencabar, setiap individu mempunyai keupayaan untuk membawa perubahan dalam kehidupan orang lain.
“Pada hari ini, kita menghormati jasa dan pengorbanan mereka yang menjadi tawanan perang di sini.
“Kemanusiaan yang ditunjukkan oleh penduduk tempatan menjadi sinar harapan dalam tempoh yang amat sukar. Kenangan ini kekal sebagai ikatan erat antara rakyat kita,” katanya.






























