Azizah bergambar kenangan bersama peserta bengkel.
KOTA KINABALU: Usaha memperkasa kepimpinan wanita di Sabah perlu terus diperkukuh bagi melahirkan lebih ramai pemimpin wanita yang berkualiti, berwibawa dan berdaya saing.
Pengerusi Institut Kajian Pembangunan (IDS) (Sabah), Datuk Seri Azizah Mohd. Dun berkata, jumlah pemimpin wanita di negeri ini masih rendah dan memerlukan pendekatan lebih menyeluruh, termasuk berpandukan dapatan kajian yang dilaksanakan oleh IDS.
Menurutnya, data dan hasil kajian institut itu jelas menunjukkan keperluan untuk meningkatkan penglibatan wanita dalam kepimpinan.
“Kita bukan sahaja mahu melihat pertambahan jumlah, tetapi juga memastikan mereka mempunyai kualiti serta kelayakan yang tinggi,” katanya ketika merasmikan Bengkel Memperkasa Kepimpinan Wanita Sabah di sini, hari ini.
Azizah yang juga Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, pembentukan pemimpin wanita berkaliber perlu bermula dengan asas komunikasi yang jelas, kefahaman mendalam terhadap isu serta persediaan rapi dalam melaksanakan tanggungjawab.
“Seorang pemimpin mesti jelas dalam pertuturan, memahami isu yang dibawa dan sentiasa membuat persediaan. Program seperti bengkel ini amat penting kerana menyediakan latihan praktikal seperti pengucapan awam, kerja berkumpulan dan pembentangan.
“Di sinilah nilai kepimpinan, ilmu dan semangat kebersamaan dapat dibentuk, selaras dengan peranan seorang pemimpin dalam membawa suara rakyat,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pengalaman memainkan peranan penting dalam membentuk kredibiliti seseorang pemimpin agar lebih diyakini dan dihormati masyarakat.
“Pemimpin perlu berani memikul tanggungjawab selepas menerima mandat. Persediaan rapi sebelum menghadiri program atau berucap mencerminkan tahap intelektual dan kesungguhan seseorang pemimpin.
“Kita tidak boleh bercakap tanpa persediaan kerana ia akan menjejaskan keyakinan terhadap kepimpinan kita,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau menekankan kepentingan pembelajaran berterusan dalam kalangan pemimpin wanita agar sentiasa relevan dengan perkembangan semasa.
“Dunia hari ini bergerak pantas. Kita perlu sentiasa menambah ilmu, memahami isu semasa dan bersedia menyesuaikan diri. Proses pembelajaran tidak pernah berhenti dan tiada had masa,” katanya.
Bengkel tersebut disertai 35 peserta terdiri daripada ahli wanita GRS dari Parlimen Kota Kinabalu, Putatan, Penampang dan Sepanggar.






























