Masiung menyampaikan cenderahati kepada Datuk Sh. Sitti Saleha Habib Yussof.
KOTA KINABALU: Satu keputusan muktamad perlu dibuat berhubung pemberian khas 40 peratus kepada Sabah tanpa terus melengahkan masa melalui siri perbincangan meja bulat atau proses mahkamah, tegas Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC), Datuk Masiung Banah.
Menurut beliau, ketetapan jelas amat diperlukan bagi menamatkan spekulasi berpanjangan yang terus menjadi polemik antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
Usul itu timbul hasil resolusi sesi libat urus eksekutif yang dianjurkan BBC bersama Pejabat Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri di sini, pagi kelmarin.
Sesi berkenaan melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan, Ahli Parlimen Sabah serta pegawai kanan kerajaan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Masiung berkata, resolusi itu akan dibawa ke Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) bagi merangka tindakan susulan sebagai pendirian terbaharu Sabah.
“Keputusan perlu dibuat bagi menamatkan perbincangan yang tertangguh tanpa mencapai kata sepakat berhubung tuntutan hasil Sabah 40 peratus di bawah MA63,” katanya.
Beliau menambah, pasukan perunding Sabah optimis isu itu dapat diselesaikan melalui Jawatankuasa Teknikal yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dengan pendekatan menang-menang.
Masiung yang juga Pengerusi Kumpulan Sedco berkata, MTPMA63 yang dianggotai pemimpin dan pegawai kanan Sabah serta Persekutuan perlu menghormati resolusi yang dicapai dalam sesi libat urus tersebut.
Selain isu tuntutan 40 peratus, sesi itu turut membincangkan perkara lain termasuk isu penduduk asing bukan warganegara di Sabah serta kenaikan tarif elektrik.
Seramai lima ahli panel dijemput membentangkan tiga isu utama Sabah, termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud selain wakil daripada Jabatan Imigresen Sabah, Jabatan Perangkaan Malaysia dan Jabatan Ketua Menteri Sabah.






























