PENAMPANG: Jawatankuasa Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) Peringkat Negeri Sabah 2026 tampil memberi penjelasan lanjut berhubung mekanisme penilaian awal finalis pertandingan berkenaan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan orang ramai.
Penjelasan itu dibuat susulan kenyataan akhbar Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Penganjuran Perayaan Pesta Kaamatan 2026, yang diadakan pada 14 April lalu di Dewan Hongkod Koisaan KDCA.
Menurut jawatankuasa berkenaan, kesemua 52 finalis Unduk Ngadau Kaamatan tahun ini akan tetap mengambil bahagian dalam Pertandingan Akhir yang dijadual berlangsung pada 31 Mei 2026.
Bagaimanapun, penilaian awal akan dilaksanakan sepanjang Minggu UNK yang bermula dari 26 hingga 30 Mei 2026 sebagai sebahagian daripada proses pemilihan berperingkat.
Jelasnya, daripada jumlah keseluruhan itu, seramai 25 finalis akan dipilih untuk mara ke pusingan kedua, meningkat berbanding hanya 15 finalis pada tahun sebelumnya.
Seterusnya, tujuh finalis terbaik akan dipilih untuk berentap di pusingan akhir sebelum dinobatkan sebagai Unduk Ngadau Kaamatan 2026.
Inisiatif menambah jumlah finalis ke pusingan kedua itu bertujuan memberi peluang lebih luas kepada para peserta untuk menyerlahkan potensi serta keunikan masing-masing.
Pada masa sama, pendekatan berkenaan juga dilihat mampu memperkasa kualiti pertandingan dengan memberi ruang penilaian yang lebih menyeluruh.
Setiap peserta akan dinilai secara komprehensif bermula dari Minggu UNK sehinggalah ke pentas akhir pada 31 Mei 2026.
Penilaian tersebut merangkumi pelbagai aspek termasuk penampilan, keperibadian, kefahaman budaya serta keupayaan peserta dalam membawa identiti warisan Kaamatan.
Penganjur turut menegaskan bahawa proses penilaian akan dilaksanakan secara telus dan profesional bagi memastikan pemilihan yang adil.
Sehubungan itu, orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengelirukan berhubung format pertandingan tahun ini.
Pesta Kaamatan yang sinonim dengan masyarakat Kadazan Dusun Murut Rungus (KDMR) terus menjadi platform penting dalam memartabatkan warisan budaya negeri.
Pertandingan Unduk Ngadau pula kekal sebagai acara kemuncak yang bukan sahaja menonjolkan kecantikan, tetapi juga keperibadian dan jati diri wanita Sabah.
Edisi 2026 dijangka lebih meriah dengan penglibatan peserta dari seluruh daerah yang membawa keunikan budaya masing-masing.


































