Jordan Jude Ellron
KOTA KINABALU: Pembantu Menteri di Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi (KPSTI), Jordan Jude Ellron tampil menjawab kritikan pihak tertentu di media sosial, sambil menegaskan segala usaha yang dilakukannya adalah demi mempercepat pembangunan di kawasan diwakilinya.
ADUN Tulid itu berkata, tuduhan yang dilemparkan oleh “cybertrooper” tidak berasas kerana kebanyakan inisiatif yang diumumkan sedang dalam pelaksanaan dan mempunyai bukti jelas.
“Saya nampak perlu juga respond terhadap cybertrooper yang tidak senang hati dengan kerja saya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas isu pembinaan dua surau, Jude menjelaskan projek berkenaan bukan di bawah peruntukan IKR, sebaliknya dipohon melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).
Beliau turut menyentuh isu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tulid yang menurutnya merupakan hasil kolaborasi antara KPSTI dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Sejak saya dan YB Menteri saya, Datuk James Ratib mengambil alih kementerian ini, kami sentiasa berkomunikasi dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan KPM,” katanya.
Menurutnya, permohonan pembinaan tujuh bangunan baharu untuk SMK Tulid telah dibuat pada 2024, namun sehingga 2025 masih belum menunjukkan perkembangan ketara.
“Saya dan YB Menteri kerap berjumpa Menteri KPM serta pegawai kanan seperti KSU dan TKSU di Putrajaya untuk follow up perkara ini,” katanya.
Jude menegaskan, tindakan susulan yang konsisten amat penting bagi memastikan sesuatu permohonan tidak terhenti begitu sahaja.
“Jika tiada yang follow up, maka permohonan itu akan ‘terjeruk’. KPM dan JPN memproses permohonan dari seluruh Malaysia, jadi kalau tiada usaha berterusan, pembangunan sukar dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata, situasi sama turut melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Lanas, di mana beliau telah memohon kepada Ketua Menteri agar projek berkenaan dipercepatkan pelaksanaannya pada 2026 berbanding jadual asal pada 2027.
Katanya, peluang itu wujud susulan peruntukan RM150 juta oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) untuk kerja pengaspalan di seluruh Sabah.
“Senang cerita, wakil rakyat yang agresif akan dapat pembangunan untuk kawasannya,” katanya.
Dalam pada itu, Jude turut mendedahkan beliau sendiri telah mengajak Menteri Pertanian turun padang bagi melihat keadaan sebenar projek empangan air yang didapati tidak berjalan seperti dirancang.
Beliau merumuskan bahawa usaha gigih dan tindakan susulan berterusan adalah kunci utama mempercepatkan pembangunan.
“Siapa yang rajin buat follow up dan tindakan susulan, pembangunan akan dipercepatkan,” katanya.
Mengulas kritikan berterusan, beliau berkata, pihak yang menuduhnya boleh terus berbuat demikian, namun realitinya projek yang diumumkan sedang berjalan dan dapat dibuktikan.
“Yang untung bukan saya, tetapi masyarakat di kawasan yang saya wakili. Cukuplah politik,” tegasnya.


































