Keadaan di lokasi kejadian. – Ihsan Bomba
KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera parah dalam kemalangan jalan raya melibatkan dua kenderaan di Jalan Kionsom, Inanam, di sini, malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.37 malam melalui talian MERS999.
Menurutnya, sepasukan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira enam kilometer dari balai, dan tiba pada jam 11.45 malam.
“Komander Operasi melaporkan kemalangan melibatkan sebuah lori kontena dan sebuah kereta jenis Perodua Axia.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan Perodua Axia hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang lori kontena,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, terdapat dua mangsa tersepit di dalam kenderaan Perodua Axia dan berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba.
“Bagaimanapun, seorang mangsa lelaki dewasa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Seorang lagi mangsa lelaki berusia 41 tahun yang mengalami kecederaan parah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Tambahnya, pemandu lori kontena berusia 33 tahun dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Operasi yang turut dibantu oleh pihak KKM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.50 tengah malam selepas keadaan disahkan selamat.
“Setelah memastikan tiada lagi bahaya di lokasi, operasi ditamatkan,” katanya.






























