KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun menegaskan kepentingan penggunaan data dan penyelidikan dalam merangka dasar yang berkesan demi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan memperkasakan produk tempatan Sabah sebagai pemacu utama ekonomi negeri, termasuk meningkatkan kualiti, penjenamaan serta kebolehpasaran produk di peringkat domestik dan antarabangsa.
“Produk tempatan mempunyai potensi besar untuk diketengahkan dan perlu diberi sokongan berterusan agar mampu bersaing di pasaran yang lebih luas,” katanya ketika mempengerusikan satu mesyuarat bersama Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah bagi membincangkan hala tuju pembangunan dan strategi ekonomi negeri di pejabatnya di sini.
Mesyuarat tersebut memberi tumpuan kepada pembentangan kajian serta cadangan dasar oleh IDS Sabah dalam memperkukuh perancangan pembangunan yang lebih tersusun dan berimpak tinggi.
Beliau turut berharap agar kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri dan IDS Sabah akan terus diperkasa bagi memastikan setiap dasar yang dirangka mampu memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat Sabah.
Mesyuarat berkenaan turut menyaksikan pembentangan cadangan ‘Mekanisma Pelaksanaan, Sumber Pendapatan Baharu’ oleh Ketua Pegawai Eksekutif IDS, Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul, disusuli dengan sesi perbincangan dan pertukaran pandangan bagi meningkatkan pendapatan negeri dari pelbagai aspek serta industri.
Menurut Ramzah, pembentangan tersebut memberi tumpuan kepada kepentingan mempelbagaikan sumber hasil negeri, memperkasa pengurusan aset secara strategik serta meneroka potensi baharu dalam sektor berimpak tinggi selain kebergantungan kepada sumber hasil tradisional.
Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan Sabah menjadi negeri yang lebih berdaya saing, mampan dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Penyelidikan IDS Sabah, Victor Sikain bersama rombongan kakitangan institut berkenaan.
































