Yang di-Pertua Negeri, Tun (Dr.) Musa Haji Aman dan Toh Puan Hajah Faridah Tussin bersama Hajiji dan isteri, Datin Seri Hajah Juliah Salag pada Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran dan Bintang-Bintang serta Pingat-Pingat Negeri Sabah sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran ke-75 Yang di-Pertua Negeri Sabah di Istana Seri Kinabalu, hari ini.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, Kerajaan Negeri mula menerokai potensi Ekonomi Biru sebagai pemacu strategik utama di bawah SMJ 2.0, berasaskan kelebihan maritim dan biodiversiti Sabah.
“Ia merangkumi pembangunan bioteknologi marin, perikanan pintar, marikultur moden, logistik dan pelancongan lestari, serta penggunaan sungai sebagai nadi ekonomi luar bandar,” katanya dalam ucapan menjunjung kasih pada Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran dan Bintang-Bintang serta Pingat-Pingat Negeri Sabah sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran ke-75 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah di Istana Seri Kinabalu, di sini, hari ini.
Menurut beliau, inisiatif itu turut melibatkan perlindungan pesisir pantai, bakau dan terumbu karang serta pembangunan karbon biru ke arah pertumbuhan ekonomi bernilai tambah yang lebih tinggi.
“Penerokaan Ekonomi Biru ini, terutama dalam sektor perikanan dan akuakultur, dijangka mampu menjana pendapatan hasil laut sehingga RM3.25 bilion setahun,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan akan terus diperkukuh bagi memastikan pelaksanaan program pembangunan berjalan secara teratur, cekap dan berkesan.
“Projek-projek pembangunan, khususnya yang menjadi keutamaan, meliputi pembangunan infrastruktur, kesihatan, pendidikan, keselamatan dan kebajikan perlu dipantau lebih rapi agar berjalan lancar dan terlaksana seperti yang dijadualkan,” katanya.
Sempena sambutan ulang tahun kelahiran Yang di-Pertua Negeri, Hajiji turut mengajak seluruh kepimpinan negeri termasuk penjawat awam dan sektor swasta untuk bersama-sama memperkukuh azam dan iltizam dalam memacu kemajuan Sabah.
“Saya ingin mengajak seluruh kepimpinan negeri, untuk kita terus mencurahkan khidmat bakti demi kemakmuran negeri dan kesejahteraan seluruh rakyat,”katanya.






























