Azrul Ibrahim
KOTA KINABALU: Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menyifatkan permohonan Kerajaan Persekutuan untuk menangguhkan pelaksanaan pembayaran berkaitan tuntutan 40 peratus hasil Sabah seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi sebagai sesuatu yang sepatutnya dapat dielakkan.
Pemangku Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Azrul Ibrahim berkata, walaupun pihaknya memahami kemungkinan Kerajaan Persekutuan memerlukan sedikit masa untuk menyusun mekanisme dan kaedah pelaksanaan tuntutan tersebut, langkah menangguhkan pelaksanaannya bukanlah keputusan yang paling wajar dalam keadaan semasa.
Menurutnya, pendekatan yang lebih meyakinkan ialah dengan memulakan pembayaran sebahagian dana berkaitan berdasarkan kapasiti kewangan sedia ada, sementara perincian jumlah sebenar serta formula pengiraan dimuktamadkan melalui rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
Beliau berkata, langkah itu bukan sahaja menunjukkan komitmen terhadap keputusan mahkamah, malah memberi keyakinan kepada rakyat bahawa hak Sabah sedang dilaksanakan secara berperingkat.
“Keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 Oktober 2025 telah menegaskan bahawa Sabah mempunyai hak perlembagaan terhadap 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang diperoleh dari negeri ini, selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Azrul berkata, pelaksanaan keputusan berkenaan wajar dizahirkan melalui komitmen dan itikad baik semua pihak yang terlibat.
Beliau menegaskan bahawa sebarang penangguhan hanya akan menambahkan keresahan serta meningkatkan sentimen dalam kalangan rakyat Sabah yang telah sekian lama menantikan penyelesaian adil terhadap hak negeri itu.
Menurutnya, isu berkenaan juga tidak seharusnya dipolitikkan sehingga menimbulkan persepsi bahawa Kerajaan Negeri tidak serius dalam menuntut hak tersebut.
Azrul berkata, hakikatnya di bawah kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor, Kerajaan Negeri telah menunjukkan komitmen yang konsisten dan berprinsip dalam memperjuangkan hak-hak Sabah.
Katanya, usaha tersebut dilaksanakan melalui pelbagai saluran termasuk rundingan berkaitan Perjanjian Malaysia 1964 (MA63).
“Rekod Kerajaan Negeri jelas memperlihatkan pendekatan yang tegas dan berhemah melalui saluran rundingan, perundangan serta kerjasama antara kerajaan bagi memastikan hak Sabah dapat dipulihkan secara berperingkat dan berkesan,” katanya.
Tambah beliau, perkara paling penting ketika ini ialah memastikan hak Sabah dihormati serta dilaksanakan seperti yang diperuntukkan.
Dalam semangat Persekutuan Malaysia yang adil dan saksama, katanya, Kerajaan Persekutuan diharap dapat mengambil langkah lebih proaktif bagi menyelesaikan perkara itu tanpa penangguhan.
Beliau berkata, penyelesaian segera mengikut kapasiti yang ada akan memberi isyarat jelas bahawa tuntutan hak Sabah sedang dilaksanakan dengan serius dan penuh tanggungjawab.
































