KOTA KINABALU: Sabah dijangka terus mengalami corak cuaca lembap sepanjang tempoh lima hari akan datang, menurut Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Arthur Joseph Kurup.
Beliau berkata, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sedang memantau secara rapi perkembangan situasi cuaca di negeri ini.
Katanya, secara keseluruhannya Sabah dijangka terus mengalami corak cuaca lembap sepanjang tempoh lima hari akan datang.
Berdasarkan analisis model cuaca terkini oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Sabah dijangka menerima pengaruh angin timuran dan baratan yang lemah sepanjang tempoh ramalan.
Keadaan itu jelasnya, meningkatkan kelembapan atmosfera dan berpotensi menyebabkan hujan serta ribut petir di beberapa tempat di Sabah.
Menurut Arthur, bagi kawasan Pantai Barat, hujan dijangka berlaku di perairan Sabah pada sebelah pagi, manakala pada sebelah petang hingga malam hujan dan ribut petir berpotensi berlaku di beberapa tempat.
Di kawasan Pedalaman pula, hujan dijangka berlaku pada sebelah pagi di awal dan akhir tempoh ramalan, sementara pada sebelah petang dan malam hujan serta ribut petir dijangka berlaku di beberapa tempat sepanjang tempoh ramalan.
Sementara itu, di bahagian Sandakan, Tawau dan Kudat, hujan di beberapa tempat dijangka berlaku pada waktu pagi diikuti hujan dan ribut petir pada sebelah petang dan malam sepanjang tempoh ramalan.
“Sebagai Menteri yang bertanggungjawab, saya telah mengarahkan MET Malaysia untuk memastikan penyaluran maklumat dan amaran cuaca ini dilakukan secara agresif dan tepat pada waktunya.
“Saya mahu rakyat Sabah mendapat akses kepada data ramalan yang sahih dan terkini supaya sebarang risiko bencana akibat cuaca lembap ini dapat diuruskan dengan lebih berkesan di peringkat komuniti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menyeru seluruh rakyat Sabah supaya sentiasa berwaspada terhadap perubahan cuaca mengejut, terutama pada waktu petang dan malam.
Arthur berkata, orang ramai disaran mendapatkan maklumat terkini melalui saluran rasmi seperti aplikasi myCuaca, portal MET Malaysia atau media sosial agensi berkenaan bagi memastikan keselamatan diri dan keluarga sentiasa terjamin.
Beliau turut mendoakan agar semua rakyat Sabah sentiasa berada dalam perlindungan Tuhan serta dipermudahkan segala urusan sepanjang mendepani fasa cuaca mencabar itu.
































