James sampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Sugut dan Paitan.
PAITAN: Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut, Datuk James Ratib memaklumkan tindakan segera telah diambil bagi memastikan penduduk di kawasan terjejas banjir di Paitan terus mendapat akses komunikasi serta bantuan yang sewajarnya.
Beliau berkata, banjir kali ini disifatkan antara yang terbesar dalam sejarah kawasan Sugut apabila melibatkan sebanyak 87 kampung yang terjejas.
Setakat ini, sebanyak 22 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka bagi menempatkan 250 Ketua Isi Rumah (KIR) dengan jumlah keseluruhan kira-kira 700 mangsa terjejas.
Menurutnya, sebahagian besar kampung terputus hubungan sama ada melalui jalan darat mahupun rangkaian komunikasi akibat kenaikan paras air.
Sehubungan itu, beliau mengarahkan Sabah Net Sdn. Bhd. untuk menyelaras dan mempercepat pemasangan kemudahan internet satelit Starlink di kampung-kampung yang terputus jaringan komunikasi.
Langkah berkenaan, katanya, penting bagi memastikan penduduk dapat berhubung dengan pihak berkuasa serta ahli keluarga, di samping melancarkan penyelarasan bantuan kemanusiaan.
Dalam masa sama, Kerajaan turut membekalkan perahu dan enjin sangkut bagi kegunaan operasi pemindahan mangsa banjir ke PPS serta mempercepat usaha menyelamat di kawasan yang dinaiki air.
James berkata, penyediaan kemudahan komunikasi dan aset logistik berkenaan amat penting dalam memastikan keselamatan penduduk terjamin serta operasi bantuan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan tersusun.
Beliau turut menegaskan Kerajaan Negeri akan terus memantau perkembangan semasa banjir di kawasan terbabit dari semasa ke semasa.
Katanya, semua agensi berkaitan digerakkan bagi memastikan bantuan dapat disalurkan secara menyeluruh kepada mangsa yang memerlukan.
Dalam pada itu, penduduk yang terjejas dinasihatkan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa serta segera berpindah ke PPS sekiranya keadaan banjir semakin meruncing.
James berkata, Kerajaan Negeri juga memberi jaminan bahawa semua mangsa banjir akan terus menerima bantuan makanan, keperluan asas dan sokongan logistik sehingga keadaan kembali pulih sepenuhnya.
Usaha bersepadu antara Kerajaan Negeri, agensi penyelamat serta pihak swasta diharap dapat mempercepat proses pemulihan pascabanjir di kawasan terlibat.
































