KOTA KINABALU: Empat buah rumah jenis tidak kekal musnah sepenuhnya dalam kejadian kebakaran di Kampung Tanjung Aru Baru, di sini, petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.54 petang melalui talian NG999.
Menurutnya, sepasukan 24 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu bersama lima anggota BBP Putatan digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira tiga kilometer dari balai.
“Jentera pertama tiba di lokasi pada jam 2.58 petang dan mendapati kebakaran melibatkan empat buah rumah jenis tidak kekal berkeluasan 20×30 kaki setiap satu telah terbakar 100 peratus.
“Pasukan Bomba dan Penyelamat bertindak pantas menjalankan operasi pemadaman serta membina ‘fire break’ bagi mengekang api daripada terus merebak ke rumah-rumah yang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tindakan strategik itu berjaya mengawal kebakaran dan mengurangkan risiko kerosakan yang lebih besar di kawasan berkenaan.
Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 200 kaki dengan tiga pancutan air, manakala sumber air diperoleh daripada pili bomba berhampiran.
Kebakaran dilaporkan berjaya dikawal pada jam 3.25 petang sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.05 petang.
Menurut jurucakap itu lagi, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian berkenaan.
Operasi diketuai Pegawai Penguasa Bomba, Mohammad Hannis Moktar selaku Komander Operasi, manakala Komander Operasi Kanan ialah Pegawai Penguasa Bomba, Rony Sikawan.
Turut terlibat ialah pegawai dari Ibu Pejabat Bomba Sabah serta 27 anggota Bomba Komuniti Tanjung Aru bagi membantu operasi di lokasi.
Sebanyak enam jentera digunakan dalam operasi itu iaitu dua Fire Rescue Tender (FRT), sebuah kenderaan utiliti, sebuah Water Tanker, sebuah EMRS, dua Rapid Intervention Motorcycle (RIM) dan sebuah Revo.
Agensi lain yang turut membantu ialah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Sabah Electricity.


































