Tun Musa dan Hajiji bersama Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Mohd. Kadzim M. Yahya serta barisan menteri Kabinet menggaul Yee Sang.
KOTA KINABALU: Lebih 10,000 orang daripada pelbagai lapisan masyarakat menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Kerajaan Negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.
Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman dan isteri, Toh Puan Faridah Tussin bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Kemudian, Tun Musa dan Hajiji yang diiringi Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Arifin mengetuai upacara memukul gendang sebagai simbolik perasmian rumah terbuka berkenaan.
Tun Musa dan Hajiji serta tetamu jemputan lain turut melaksanakan tradisi Tahun Baharu Cina dengan menggaul Yee Sang.
Tetamu yang hadir turut dihiburkan dengan pelbagai persembahan daripada artis tempatan dan kumpulan tarian.


































