KOTA KINABALU: Dua lagi tangkapan dibuat hari ini membabitkan dua wanita tempatan masing-masing berumur 29 dan 21 tahun bagi membantu siasatan kes bunuh susulan penemuan beberapa bahagian anggota tubuh manusia di kawasan tapak pembuangan sampah Pekan Indah Permai, Menggatal pada 12 Februari lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, kedua-dua wanita terbabit ditahan di kawasan Sepanggar dan Inanam.
Menurutnya, kedua-dua suspek wanita itu merupakan anak kepada suspek utama dan ditahan bagi membantu siasatan lanjut berhubung peranan serta pengetahuan mereka berkaitan kejadian berkenaan.
Beliau berkata, sebelum itu dua lelaki tempatan turut ditahan pada 12 Februari lalu bagi membantu siasatan kes sama.
“Tangkapan pertama melibatkan seorang lelaki tempatan berumur 71 tahun yang ditahan di Unit Kecemasan Hospital Queen Elizabeth II, Kota Kinabalu.
“Susulan itu, seorang lagi lelaki tempatan berumur 19 tahun turut ditahan pada malam yang sama di kawasan Sepanggar,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.
Syed Lot berkata, kesemua tangkapan dibuat hasil tindakan pantas dan siasatan berterusan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.
Dalam operasi berkenaan, polis turut merampas beberapa barangan dipercayai mempunyai kaitan dengan kes termasuk telefon bimbit, pakaian, sepasang sarung tangan, sebilah parang berukuran kira-kira 27 inci serta sebuah kenderaan jenis Nissan X-Trail.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Beliau berkata, pihak polis memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara menyeluruh, telus dan profesional.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.


































