Lori kontena yang terlibat.
KOTA KINABALU: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (DVS Sabah) telah merampas sebanyak 27,000 kilogram produk ayam sejuk beku bernilai RM268,410 selepas mengesan cubaan mengimport barangan tersebut tanpa permit yang sah.
Rampasan itu merupakan hasil operasi penguatkuasaan berasaskan risikan yang dijalankan oleh DVS Wilayah Kota Kinabalu.
Operasi bermula dengan pemeriksaan sebuah kontena 40 kaki di Pelabuhan Sepanggar sebelum tindakan susulan diambil di sebuah fasiliti bilik sejuk di Inanam Laut.
Menurut DVS Sabah, pemeriksaan mendapati pemilik konsainan gagal mengemukakan sebarang permit import atau lesen yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar, sekali gus melanggar peruntukan undang-undang dan peraturan sedia ada berkaitan pengimportan produk makanan berasaskan haiwan ke Sabah.
Susulan itu, tindakan penguatkuasaan telah diambil dengan merampas sebanyak 27,000 kilogram produk paha ayam sejuk beku mengikut peruntukan undang-undang berkaitan yang sedang berkuat kuasa.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar memuji pasukan DVS Sabah atas kejayaan operasi tersebut yang disifatkan sebagai tepat pada masanya dan berkesan.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada DVS atas tindakan pantas, berkesan dan profesional dalam memastikan keselamatan makanan serta melindungi kepentingan rakyat Sabah,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa Kerajaan Sabah memandang serius sebarang cubaan membawa masuk produk makanan ke negeri ini tanpa kelulusan yang sewajarnya kerana ia boleh menjejaskan kesihatan awam, biosekuriti serta keyakinan orang ramai terhadap sistem kawalan makanan negara.
Tambah beliau, operasi tersebut mencerminkan pendirian tegas dan komitmen berterusan Sabah dalam memastikan hanya produk makanan yang mematuhi piawaian dan keperluan undang-undang dibenarkan berada di pasaran.
Sementara itu, Pengarah DVS Sabah, Dr Zul Bahar, berkata operasi berkenaan telah dilaksanakan secara tersusun dan berperingkat melalui kerjasama erat antara unit-unit terlibat.
“Operasi ini melibatkan Unit Penguatkuasaan DVS Wilayah Kota Kinabalu, Unit Pemeriksaan Veterinar serta Unit Kuarantin DVS KKIA/Kargo, selaras dengan usaha berterusan DVS Sabah untuk memperkukuh keselamatan makanan dan biosekuriti di negeri ini,” katanya.
Dr Zul turut merakamkan penghargaan kepada agensi penguatkuasaan lain yang terlibat, termasuk Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia(AKPS) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, atas kerjasama rapat dan sokongan padu yang diberikan.
































