Dr. Joachim (dua dari kanan) menerima cenderamata dari China daripada Carmen Wong (dua dari kiri), sambil diperhatikan Naib Presiden Persatuan Plumber Sabah, S P Teo (kiri) dan Pegawai Khas, Shane Goon.
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam menerima taklimat rasmi hasil lawatan kerja wakil Persatuan Plumber Sabah ke Beijing, Republik Rakyat China, baru-baru ini.
Presidennya, Carmen Wong berkata, lawatan berkenaan bertujuan memperkukuh pemahaman serta meneroka potensi kerjasama dalam sektor air antara Sabah dan pihak berkaitan di China.
Menurutnya, lawatan tersebut merangkumi siri libat urus profesional bersama Beijing Municipal Water Authority dan Beijing Waterworks Group, dengan perbincangan memfokuskan kepada urus tadbir air, sistem bekalan air, rawatan sisa air serta pendekatan pengurusan utiliti yang diamalkan di China.
Katanya, perkongsian itu memberi gambaran menyeluruh mengenai amalan terbaik, penggunaan teknologi terkini serta model pengurusan yang berpotensi dijadikan rujukan untuk diaplikasikan di Sabah.
Selain itu, beliau berkata, objektif utama lawatan ke Beijing adalah bagi menyampaikan jemputan rasmi kepada pihak berkuasa serta perusahaan berkaitan sektor air dari China untuk menyertai Forum dan Pameran Air yang dijadual berlangsung di Sabah pada 25 dan 26 April ini.
Lawatan berkenaan turut melibatkan perbincangan awal mengenai cadangan topik forum, pameran teknologi serta bentuk penyertaan oleh pihak antarabangsa.
Delegasi Persatuan Plumber Sabah juga mengadakan sesi libat urus bersama wakil perniagaan dari pelbagai wilayah di China di Ningxia Mansion, Beijing.
“Perbincangan merangkumi aspek pembangunan industri, keupayaan pembuatan serta peluang kerjasama dalam bidang infrastruktur dan teknologi air,” katanya.
Dalam lawatan itu, pihak persatuan turut menerima cenderamata daripada Beijing Waterworks Group sebagai simbol hubungan baik dan hasil positif sesi pertukaran pandangan sepanjang lawatan berkenaan.
Secara keseluruhan, taklimat hasil lawatan tersebut menyediakan rujukan penting dalam memahami perkembangan terkini, teknologi serta model kerjasama sektor air di China.
Sementara itu, Dr. Joachim menyatakan sokongan terhadap usaha berterusan untuk meneroka kerjasama yang praktikal dan konstruktif dalam bidang infrastruktur air, utiliti awam serta pertukaran kepakaran profesional, selaras dengan keperluan pembangunan jangka panjang dan kesejahteraan rakyat Sabah.






























