KOTA KINABALU: Musketeers Football Academy telah mengadakan kunjungan hormat ke Persatuan Bola Sepak Sabah (Sabah FA) sebagai langkah strategik untuk memperkukuh pembangunan bola sepak akar umbi di Sandakan.
Tujuan utama kunjungan ini adalah untuk berkongsi perancangan semasa akademi, mendapatkan pandangan profesional, serta memohon sokongan Sabah FA dalam pelaksanaan program pembangunan bola sepak kanak-kanak dan remaja di daerah Sandakan.
Dalam sesi pembentangan, Musketeers turut memperkenalkan pembangunan sebuah aplikasi pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) bernama Tamubola, yang merangkumi modul latihan, pengurusan pasukan, dan sistem pendataan profil pemain secara digital. Akademi juga memohon khidmat nasihat daripada Sabah FA bagi membantu membangunkan modul latihan dan kandungan program yang sesuai untuk diintegrasikan ke dalam aplikasi tersebut.
Sabah FA menyatakan keterujaan dan sokongan terhadap visi, perancangan, serta perkembangan terkini Musketeers Football Academy. Mereka turut bersedia untuk mengadakan lawatan balas ke akademi Musketeers di Sandakan pada masa akan datang.
Sebagai tanda sokongan, Sabah FA turut menyumbangkan 22 set jersi pasukan dan 10 buah bola sepak bagi kegunaan kejohanan dan sesi latihan akademi.
Delegasi Sabah FA diketuai oleh Shamsuddin Mohd. Shah (Setiausaha Agung), bersama Datuk Razak Sulaiman (Ahli Majlis Tertinggi), David Wisdom (Setiausaha Eksekutif) dan Ronny Asmadul (Pembangunan Akar Umbi).
Manakala delegasi Musketeers Football Academy diketuai oleh Hardy Pudar (Presiden), bersama Rusli Hassan (Penasihat Kejurulatihan), Coach Arif Tumin (Ketua Jurulatih), serta Coach Mohd. Nor dan Coach Dasri Paddu.
Kunjungan ini menandakan permulaan kerjasama strategik antara Musketeers Football Academy dan Sabah FA dalam usaha melahirkan generasi pemain bola sepak berpotensi dari peringkat akar umbi di Sabah, selari dengan motto akademi: “More Than Football.”






























