Yazid Mohd. Hasnan Tawik @ Charles
KOTA KINABALU: Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, Haji Yazid Mohd. Hasnan Tawik @ Charles menyatakan sokongan penuh terhadap saranan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor supaya perundangan yang mengatur adat serta sistem keadilan anak negeri Sabah dikaji semula dan diperkemas agar selaras dengan realiti serta cabaran semasa.
Beliau berkata, saranan Ketua Menteri itu mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap keperluan memperkukuhkan institusi adat anak negeri, khususnya Mahkamah Anak Negeri (MAN), supaya kekal relevan, berwibawa dan berfungsi secara berkesan dalam landskap sosial serta perundangan masa kini.
Menurutnya, sebahagian undang-undang berkaitan anak negeri yang digubal sejak era kolonial dan awal pembentukan pentadbiran moden Sabah wajar disemak semula secara menyeluruh, tanpa menjejaskan nilai adat, identiti dan warisan anak negeri yang menjadi tunjang jati diri serta keharmonian masyarakat di negeri ini.
“Kami menyokong penuh pandangan Ketua Menteri bahawa perundangan adat perlu diperkasakan agar selari dengan perkembangan semasa, termasuk perubahan struktur sosial, ekonomi dan cabaran masyarakat moden, namun tetap berteraskan adat resam serta kearifan tempatan anak negeri Sabah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Yazid berkata, saranan Hajiji itu sebelum ini dizahirkan ketika menegaskan keperluan Kerajaan Negeri memperkukuh MAN melalui penambahbaikan dari aspek perundangan, bidang kuasa, struktur institusi serta keupayaan pentadbiran, bagi memastikan sistem keadilan adat terus diyakini rakyat.
Menurut beliau, usaha memperkukuhkan MAN adalah langkah progresif dan berpandangan jauh, selaras dengan aspirasi kerajaan untuk membina sistem keadilan yang adil, inklusif dan berintegriti, khususnya dalam menyelesaikan pertikaian melibatkan adat dan komuniti setempat.
“Pengukuhan MAN bukan bermaksud menghakis adat, sebaliknya satu usaha memperkasakan institusi ini agar keadilan dapat dilaksanakan secara lebih teratur, telus dan berkesan, sejajar dengan kehendak semasa tanpa mengorbankan roh adat itu sendiri,” katanya.
Beliau turut menyambut baik komitmen Kerajaan Negeri yang terus menyalurkan peruntukan besar kepada Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah sebagai bukti kesungguhan Kerajaan dalam menjaga kebajikan anak negeri serta memastikan kelangsungan adat resam yang diwarisi turun-temurun.
Katanya, peruntukan berkenaan bukan sekadar sokongan pentadbiran, malah merupakan pelaburan jangka panjang bagi menjamin keharmonian sosial, kestabilan masyarakat dan kelangsungan sistem keadilan adat di Sabah.
“Pelaburan ini amat penting untuk memastikan institusi adat diperkasakan, pegawai MAN diberi latihan dan sokongan sewajarnya, serta prosedur pentadbiran dapat dimodenkan tanpa menghilangkan nilai asas adat,” katanya.
Sehubungan itu, Yazid berharap semua pihak berkepentingan, termasuk pemimpin masyarakat, ketua adat, tokoh tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dapat bersama-sama menyokong inisiatif pembaharuan yang digariskan oleh Kerajaan Negeri.
Beliau berkata, penglibatan aktif semua pihak melalui pandangan dan sumbangan secara konstruktif amat penting bagi memastikan sebarang penambahbaikan perundangan dan institusi adat yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat menyeluruh kepada anak negeri Sabah.
“Pendekatan inklusif ini penting supaya pembaharuan yang dilakukan bukan sahaja kukuh dari segi perundangan, tetapi juga diterima dan difahami oleh rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.
































