Mustapha Sakmud
KUALA LUMPUR: Majlis Pelancaran Dashboard Status Pelaksanaan Perkara di Bawah Perjanjian Malaysia 1963 (Dashboard MA63) akan diadakan di Parlimen Malaysia pada Rabu ini (28 Jan).
Majlis berkenaan akan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts Mustapha Sakmud berkata, jemputan rasmi ke majlis tersebut telah diedarkan kepada semua Ahli Dewan Negara dan Ahli Parlimen.
Beliau berkata, penganjuran majlis itu mencerminkan komitmen Kerajaan Madani dalam memperkukuh ketelusan serta pemantauan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Komitmen ini menunjukkan bahawa pelaksanaan MA63 kini menjadi agenda nasional dan bukan sahaja terhad kepada agenda Sabah dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mustapha berkata, bermula 28 Januari, rakyat Malaysia boleh mengakses maklumat sahih berkaitan 29 tuntutan utama MA63 tanpa dipengaruhi bias politik dan ketidakpastian maklumat.
“Dashboard MA63 ini boleh diakses melalui portal rasmi Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Jabatan Perdana Menteri (BHESS, JPM),” katanya.
































