KOTA KINABALU: Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk James Ratib menzahirkan sokongan serta keterbukaan kementeriannya terhadap sebarang bentuk pemindahan teknologi dari luar negara, khususnya dari China, sebagai langkah strategik bagi memperkasakan pembangunan pendidikan, sains, teknologi dan inovasi di negeri ini.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Sabah-China Chamber of Commerce (SCCC) yang melibatkan 14 delegasi diketuai Presidennya, Datuk Frankie Liew bersama Timbalan Presiden, Brett Chua.
Dalam pertemuan itu, James menghuraikan potensi kerjasama konkrit antara kementerian dan sektor swasta, sambil menegaskan bahawa inovasi merupakan pemacu utama pembangunan Sabah.
Beliau berharap SCCC dapat terus memainkan peranan aktif dengan mengemukakan cadangan kepada kerajaan negeri, khususnya dalam memperkenalkan teknologi canggih dari China ke Sabah.
Menurut beliau, hubungan strategik yang kukuh antara SCCC dengan pihak industri di China merupakan satu kelebihan besar yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya.
“Datuk Frankie Liew mempunyai hubungan erat dengan syarikat-syarikat di China, dan jaringan ini amat penting dalam membuka peluang kerjasama teknologi, pelaburan serta pembangunan kepakaran di Sabah,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa kementerian mengalu-alukan segala bentuk kerjasama strategik, khususnya inisiatif yang melibatkan pemindahan teknologi, pembangunan kepakaran tempatan serta penggunaan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), selaras dengan agenda pembangunan negeri.
James juga menyatakan kesediaan kementerian untuk menerima inisiatif, teknologi dan kepakaran dari luar negara bagi memperkasa industri teknologi serta latihan kemahiran di Sabah, termasuk dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Sementara itu, Chua memaklumkan bahawa China memiliki pelbagai teknologi berkaitan latihan TVET yang berpotensi dikongsikan dengan Sabah.
Bagaimanapun, katanya, negeri ini masih belum mempunyai platform yang sesuai untuk menerima dan melaksanakan teknologi tersebut sepenuhnya.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan lawatan berkenaan sebagai titik permulaan penting ke arah merealisasikan kerjasama strategik antara kedua-dua pihak dalam bidang TVET.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian, Hassan Mahali dan Setiausaha Politik kepada Menteri, Justinus Jalang.
Kementerian yakin kerjasama strategik antara Kerajaan dan sektor swasta ini mampu membuka lebih banyak peluang dalam bidang pendidikan, sains, teknologi dan inovasi, sekali gus menyumbang kepada pembangunan modal insan serta kemajuan Sabah secara mampan.




























