James Ratib
KOTA KINABALU: Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk James Ratib berkata, penglibatan organisasi kebudayaan dalam aktiviti kebajikan bukan sahaja memperkukuh pemeliharaan warisan budaya, malah menyumbang secara langsung kepada kesejahteraan komuniti setempat.
“Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi sentiasa komited menyokong inisiatif badan bukan kerajaan dan organisasi kebudayaan yang berperanan memperkasa warisan budaya,” katanya.
Beliau berkata, peranan organisasi sedemikian juga penting dalam memperluaskan pendidikan komuniti serta membina jati diri generasi muda.
James berkata demikian dalam teks ucapannya pada Majlis Makan Malam Amal di Putera Ballroom, di sini, malam tadi, yang dibacakan oleh Setiausaha Politiknya, Justinus Jalang yang mewakili beliau.
Majlis berkenaan dihadiri lebih 200 tetamu terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, pemimpin komuniti dan penggiat budaya.
Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Badan Budaya Nasional atas penganjuran majlis itu serta memuji inisiatif penganjur yang menyalurkan 20 peratus hasil kutipan kepada rumah-rumah kebajikan, khususnya untuk golongan kurang upaya dan warga emas di Sabah.
Usaha itu disifatkan sebagai contoh keprihatinan sosial yang wajar dicontohi dalam usaha membina masyarakat yang inklusif dan berdaya ihsan.
Sementara itu, Pengerusi Bersama Badan Budaya Nasional, Mainah @ Jenny dalam ucapannya menzahirkan harapan agar sokongan dan peruntukan terhadap aktiviti badan itu dapat terus dipertimbangkan pada masa hadapan.
Menurutnya, sokongan berterusan penting bagi membolehkan pelaksanaan program dirancang dengan lebih efisien, tersusun dan berimpak tinggi, sekali gus memperkasakan pembangunan budaya serta memberi manfaat lebih menyeluruh kepada masyarakat Sabah.


























