TAWAU : Sebanyak 26 pasukan berentap dalam acara badminton sempena temasya Sukan Sabah (SAGA) XI Tawau 2025.
Ketua Delegat Teknikal Badminton, Sudirman Abas berkata, acara badminton untuk edisi kali ini menyaksikan penyertaan seramai 227 peserta dari seluruh negeri.
“Kategori yang ditawarkan ialah perseorangan lelaki, perseorangan perempuan, beregu lelaki, beregu perempuan dan beregu campuran.
“Sebanyak 15 pingat dipertandingkan meliputi lima emas, lima perak dan lima gangsa.
“Kejuaraan ini baru sahaja bermula pada hari ini dan peringkat akhir dijadualkan berlangsung pada 16 Oktober,” katanya ketika ditemui media di Akademi Badminton Dewan Ji Min di sini, pada Ahad.
Beliau berharap agar kejohanan akan berjalan lancar dan menjadi medan melahirkan wakil-wakil baharu ke Sukan Malaysia (SUKMA) akan datang.

Sudirman ketika ditemui media.
Antara aksi atlet pada hari pertama acara badminton berlangsung.
Dalam pada itu, Sudirman yang juga Naib Presiden Persatuan Badminton Sabah memaklumkan pihaknya telah mengenal pasti beberapa pemain muda yang menunjukkan potensi tinggi.
“Kebanyakan mereka dibawa dari peringkat sekolah-sekolah dan dikenal pasti oleh persatuan daerah,” katanya.
Menurutn beliau, penglibatan pemain muda ini penting bagi memastikan kesinambungan prestasi Sabah dalam arena badminton kebangsaan.
Kejohanan badminton kali ini dijangka terus mendapat sambutan hangat menjelang aksi penentuan juara minggu hadapan.
































